SENI suci dan tatacara keagamaan demi kesejahteraan dipapar dalam sebuah pameran khas yang sedang berlangsung di Muzium Tamadun Asia (ACM).
Pameran 'Body & Spirit: The Human Body in Thought and Practice' (Tubuh & Roh: Tubuh Manusia dalam Pemikiran dan Amalan) itu menyorot bagaimana agama memainkan peranan dalam kesejahteraan dan kerohanian penganut masing-masing.
Ia menonjolkan agama dari Asia seperti Islam, Buddha, Jainisme dan Katolik.
Pameran dari 25 November 2022 hingga 26 Mac 2023 itu menampilkan 100 artifak daripada koleksi peribadi tempatan, sumbangan tempatan dan koleksi sedia ada di muzium itu.
Kurator Kanan Seni Islam dan Peranakan ACM, Cik Noorashikin Zulkifli, dan Kurator Asia Tenggara, Encik Conan Cheong, menyusun pameran itu semasa pandemik Covid-19.
"Pameran ini, yang bermula tahun lalu setelah pelonggaran sekatan sempadan, membuktikan bahawa agama memainkan peranan bagi kesejahteraan dan kerohanian kita," ujar Cik Noorashikin.
Artifak-artifak merentas pelbagai agama itu dikumpulkan dalam pameran itu mengikut persamaan amalan atau kerohanian mereka.
Ia termasuk artifak yang berasal daripada Islam, Melayu dan Jawa yang jarang didedahkan kepada generasi hari ini.
Antaranya ialah beduk dan kentung, yang digunakan masjid pada satu masa dulu untuk mengumumkan waktu solat dan mengajak penduduk kampung mendirikannya.
Ia disumbang oleh Masjid Darul Aman, yang menurut Cik Noorashikin, satu-satunya masjid di Singapura yang meneruskan tradisi itu.
Pameran itu juga memaparkan baju azimat yang dibuat khas untuk orang Islam Syiah.
Pada baju itu tertera tulisan ayat-ayat Al-Quran serta apa yang dikatakan sebagai doa Jawshan al-Kabir dan Jawshan al-Saghir, iaitu pelindung besar dan pelindung kecil.
Ia berfungsi sebagai perlindungan daripada kecederaan fizikal dan penyakit, terutamanya semasa pertempuran, dan sihir.
Terdapat juga kain dan kerusi khas yang digunakan oleh masyarakat Jawa semasa upacara berkhatan.
Kain kapas putih itu disulam dengan motif bunga, burung dan rusa sementara bahagian tepinya dihiasi dengan rambu yang dibuat menggunakan teknik mengait.
Bagi masyarakat Minangkabau, upacara berkhatan menandakan perjalanan seorang lelaki dari kecil hingga dewasa.
Upacara terperinci mesti diikuti bagi memastikan ia mengikut adat tradisi Minang.
"Kerusi istiadat itu kecil dan ia digunakan untuk budak lelaki yang baru berkhatan. Mereka akan duduk di atas kerusi itu untuk dipersembah sebagai seorang lelaki muda dan seorang pengantin lelaki yang layak berkahwin," ujar Cik Noorashikin.
Berkhatan dilihat sebagai upacara penting merentasi banyak masyarakat Islam di Asia Tenggara.
Di Jawa, upacara berkhatan selalunya menyerupai upacara perkahwinan tradisional. Motif bunga di tengah kerusi khas itu mengimbas kembali motif pokok kehidupan, unsur teras dalam seni dan kosmologi Jawa.
Antara artifak lain yang dipamer ialah lukisan Masjid al-Haram yang dihasilkan di India pada abad ke-19.
Yang unik pada karya seni ini ialah teknik lukisan kaca terbaliknya, iaitu imejnya dilukis pada bahagian belakang sekeping kaca dan imej itu dilihat dari sisi yang tidak dicat.
"Saya berharap pameran ini akan menggalak pengunjung meneroka tema merentasi pelbagai budaya dan kepercayaan ini dan bagaimana ia mempengaruhi minda, badan dan semangat seseorang," kata Cik Noorashkin.
Pameran itu dibuka dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari, tetapi dibuka hingga 9 malam pada Jumaat.
Tiket masuk dikenakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg