LIMA syarikat milik Melayu/Islam dan empat peniaga dari rumah bakal menyertai Pameran SkillsFuture di Wisma Geylang Serai (WGS) esok bersempena sambutan ulang tahun kedua WGS.
Penglibatan syarikat milik Melayu/ Islam ini - iShare, Pusat Latihan Antarabangsa Raffles Skills Lab, Akademi SSA, Zan's Treats, Cef Mastura - serta peniaga dari rumah iaitu The Oven Lady, Annticing Treats, Lauuk House dan Spes-hiel, memberi kelainan dan nilai tambah kepada Pameran SkillsFuture di WGS.
Pameran SkillsFuture anjuran WGS dengan kerjasama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East; Nasihat SkillsFuture dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja, e2i, ini diadakan dengan tujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Kredit SkillsFuture, bagaimana warga Singapura dapat menggunakannya bagi meneruskan pembelajaran sepanjang hayat dan menawarkan kursus-kursus menarik.
Pameran ini bakal diadakan di dewan serbaguna di tingkat empat.
Sebanyak 11 reruai disediakan untuk orang ramai mengetahui lebih lanjut tentang kursus yang diluluskan oleh Kredit SkillsFuture serta peluang yang tersedia melalui pelbagai program di pameran tersebut.
Antara penyedia latihan yang ada esok ialah Cef Siti Mastura, Cef Zan (Zan's Treats), iShare, Pusat Latihan Antarabangsa Raffles Skills Lab, Nasihat SkillsFuture, Institut Pengurusan Singapura, Politeknik Ngee Ann, Hab Pembelajaran NTUC, Akademi SSA dan Pengambilan Pasukan Sukarelawan M3 (MOVT).
Antara program menarik di pameran tersebut termasuk tunjuk cara membuat kek oleh Cef Siti Mastura dan Cef Zan, dengan mereka berdua berkongsi tentang kursus SkillsFuture yang mereka kendalikan.
Peniaga dari rumah pula akan berkongsi tentang pengalaman mereka mempertingkat diri melalui kursus SkillsFuture dan bagaimana ia membantu mereka berjaya menubuhkan perniagaan masing-masing.
Sebagai contoh, pengasas The Oven Lady yang ingin dikenali sebagai Cik Fara, 37 tahun, yang antaranya menjual aneka jenis puding roti bersama sos vanila, telah mengembangkan perniagaannya melalui wadah media sosial dan dari mulut ke mulut selama lapan tahun.
"Namun, selepas memiliki Sijil Kebersihan Makanan Asas WSQ pada 19 Oktober 2018 dengan menggunakan Kredit SkillsFuture saya, ia telah memberi saya lebih banyak peluang perniagaan di luar dapur rumah saya. Sejak mendapati sijil itu, saya terlibat dalam acara bazar, jualan kuih di sekolah, acara korporat termasuk acara amal dan mengumpul dana," kata Cik Fara.
Seorang lagi peniaga dari rumah yang bakal terlibat dalam Pameran SkillsFuture ini adalah pengasas Lauuk House, Cik Nurul Asyiqin Tang, 25 tahun.
Lauuk House ditubuhkan pada Ogos tahun lalu, menjual sambal goreng pengantin dan rendang daging.
Selain itu, pengunjung boleh mengikuti Webinar Nasihat SkillsFuture; berbincang dengan perunding daripada Institut Pengurusan Singapura (SIM), Politeknik Ngee Ann, Hab Pembelajaran NTUC dan Akademi SSA; dan memilih daripada pelbagai jenis kursus tersedia untuk diri sendiri pada masa hadapan.
Pada masa yang sama, WGS juga mengadakan Pameran Pekerjaan di tingkat satu.
Mengulas tentang Pameran SkillsFuture di WGS itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata:
"Wisma Geylang Serai sentiasa mahu memberikan satu kelainan kepada masyarakat.
"Bagi Pameran SkillsFuture, kami telah mengumpulkan beberapa penyedia latihan seperti iShare Singapore, Akademi SSA, Pusat Latihan Antarabangsa Raffles Skill Lab dan cef-cef selebriti seperti Cef Zan dan Cef Siti Mastura.
"Saya rasa perkongsian pengalaman dan juga panduan yang berguna daripada cef-cef dan juga peniaga dari rumah dapat memberi manfaat kepada mereka yang ingin membuka bisnes sendiri.
"Pembelajaran sepanjang hayat dan juga mempelajari sesuatu yang baru amat digalakkan.
"Saya mengalu-alukan orang ramai datang ke Pameran SkillsFuture di Dewan Serbaguna di tingkat empat dan Pameran Pekerjaan di tingkat satu dan merebut peluang yang ada."
PROGRAM PAMERAN SKILLSFUTURE 23 JANUARI, 10 PAGI HINGGA 5 PETANG
SESI PAGI
10.00 - 11.00 pagi: CEF SITI MASTURA
11.15 - 11.30 pagi: THE OVEN LADY
11.30 pagi - 12.15 tengah hari: CEF ZAN
************
11.00 pagi - 12.30 tengah hari: NASIHAT SKILLSFUTURE
11.30 pagi - 12.00 tengah hari: NASIHAT SKILLSFUTURE
12.45 - 1.00 tengah hari: CEF ZAN
1.00 - 1.15 petang: ANNTICING TREATS
SESI PETANG
2.00 - 3.30 petang: NASIHAT SKILLSFUTURE
2.00 - 2.45 petang: CEF ZAN
2.00 - 2.30 petang: NASIHAT SKILLSFUTURE
2.30 - 2.45 petang: SPES-HIEL
3.00 - 3.15 petang: CEF ZAN
3.15 - 4.15 petang: CEF SITI MASTURA
4.30 - 4.45 petang: LAUUK HOUSE
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg