Encik Surahman Sayen mula menceburi industri penerbangan sejak berusia 18 tahun.
Beliau terlibat sebagai teknisyen semasa pembinaan Lapangan Terbang Changi pada 1977.
Sepanjang tempoh itu, beliau menyumbang kepada beberapa fasa transformasi Changi, termasuk pembinaan Terminal 2 dan projek perluasan landasan ketiga.
Setelah hampir 50 tahun berkhidmat, Encik Surahman, tidak menyangka sumbangannya akan dihargai melalui sebuah bahagian khas dalam pameran baru ‘Dalam Pembinaan T5’, yang terletak di dewan ketibaan Terminal 3.
Pameran tersebut, yang dijadual berlangsung dari 6 Januari hingga Mac, memberi peluang kepada pengunjung mendalami visi dan reka bentuk Terminal 5, serta sejarah Lapangan Terbang Changi.
Menjelang pembukaannya, pengunjung berpeluang melihat sekilas kemudahan dan teknologi baru yang bakal dibina di T5 melalui paparan interaktif dan model berskala di lima zon pengalaman yang mengasyikkan.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) semasa majlis pelancaran pameran tersebut pada 5 Januari, Encik Surahman mengakui beliau terharu dengan pengiktirafan tersebut.
Walaupun bangga kerana terlibat dalam satu lagi detik penting dalam sejarah Lapangan Terbang Changi, peluang untuk berkongsi pengiktirafan tersebut bersama keluarganya dianggap lebih bermakna.
“Saya rasa bangga kerana ini merupakan projek nasional dan saya dapat berkongsi keistimewaan detik ini bersama anak-anak dan cucu-cucu saya,” kata Encik Surahman yang bertugas sebagai pengurus di Changi Airport Group (CAG) sejak 2015.
Beliau menambah bahawa kedua-dua cucunya, masing-masing berusia tujuh dan 10 tahun, tidak begitu berminat dengan bidang pembinaan dan kejuruteraan.
Encik Surahman tersenyum lebar ketika memberitahu BH beliau sudah berkongsi gambar pamerannya, serta membuat rancangan untuk kembali ke pameran itu bersama keluarganya.
Selain daripada Encik Surahman, pameran tersebut turut menghargai usaha dan sumbangan golongan perintis lain.
Pameran tersebut membawa pengunjung ‘mengembara’ bagi mengimbau sejarah Lapangan Terbang Changi sambil menyingkap lembaran kisah rancangan pembinaan T5, reka bentuk, skala dan kemungkinan inovasi di terminal itu.
Pameran itu dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan CAG.
Pengalaman pengunjung bermula dengan menerima ‘pas penerbangan’ yang mengandungi butiran seperti nama apabila mendaftar masuk ke pameran tersebut.
Zon pertama, Satu Lagi Bab Penting Bagi Singapura, merumuskan evolusi Lapangan Terbang Changi daripada langkah penambakan tanah, yang menjadi asas pembinaan dan perkembangan lapangan tersebut.
Sebab di sebalik pembinaan T5 dan manfaat terminal itu kepada perkembangan industri penerbangan turut dipaparkan pada ‘globe’ setinggi 2.7 meter di zon tengah.
Zon seterusnya, Dibina di Atas Asas Yang Kukuh, mempamerkan urutan perkembangan Lapangan Terbang Changi sejak penambakan tanah serta pengiktirafan generasi perintis yang membentuk Lapangan Terbang Changi sejauh ini.
Di zon seterusnya, tetamu akan diperkenalkan kepada ciri-ciri T5 melalui pengalaman teater imersif, lengkap dengan lampu dan laser.
Melangkah ke zon keempat, Teknologi Canggih Sentuhan Mesra, pengunjung akan disambut oleh Max, robot berbentuk manusia berkuasa kecerdasan buatan (AI).
Max mampu berinteraksi dengan para penumpang di T5 dalam beberapa bahasa, termasuk bahasa Melayu, Tamil, Mandarin, Perancis, Jepun dan banyak lagi.
Apabila dilancarkan secara rasmi, Max akan memudahkan perjalanan para penumpang melalui pelbagai wadah.
Seterusnya, para pengunjung boleh meneroka teknologi yang sedang dibangunkan dalam mengatasi cabaran seperti kekurangan tenaga kerja, penduduk kian menua serta perubahan iklim.
Ia merangkumi kerusi roda berautonomi yang boleh dipesan melalui aplikasi telefon bijak, jentera pengendalian bagasi, sistem AI Airport 360 yang mampu meramalkan kelewatan penerbangan dan kenderaan bagasi pandu sendiri.
Sebelum mengakhiri lawatan, pengunjung boleh membayangkan ciri-ciri yang mereka idamkan di T5 melalui mural digital interaktif dan melihat lebih dekat model skala terperinci bagi terminal mega yang akan datang.
Bercakap di sesi pratonton pameran pada 2 Januari, Pengarah Urusan CAG untuk Changi East, Encik Ong Chee Chiau, berkata:
“Kami berharap orang ramai berasa teruja melalui pameran ini serta mencetus imaginasi mereka terhadap industri penerbangan Singapura pada masa depan.”
“Kita harus menghargai sumbangan golongan perintis, kerana mereka membentuk kemajuan kita sejauh ini.
“Tanpa usaha mereka, kita tidak dapat melakukan apa yang kita lakukan hari ini,” tambahnya.
Sejak pendaftaran dibuka pada 15 Disember, seramai 15,000 orang telah mendaftar untuk tiket ke pameran setakat 5 Januari.
Setiap lawatan mengambil masa kira-kira sejam.
Pameran tersebut akan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 8 malam, dengan slot masuk terakhir pada 7.15 malam. Masuk adalah percuma.
“
“Kami berharap orang ramai berasa teruja melalui pameran ini serta mencetus imaginasi mereka terhadap industri penerbangan Singapura pada masa depan. Kita harus menghargai sumbangan golongan perintis, kerana mereka membentuk kemajuan kita sejauh ini. Tanpa usaha mereka, kita tidak dapat melakukan apa yang kita lakukan hari ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg