Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pameran takrif semula erti menua secara aktif

Oct 1, 2024 | 3:18 PM
Dr Gerard Ee (kiri) diberi taklimat semasa melawat pameran ‘Break the Silver Ceiling: One Photo at a Time’ di OTH pada 1 Oktober.
Dr Gerard Ee (kiri) diberi taklimat semasa melawat pameran ‘Break the Silver Ceiling: One Photo at a Time’ di OTH pada 1 Oktober. - Foto ST

Satu pameran koleksi foto yang memaparkan semangat warga senja hari ini, bertujuan menghapuskan stereotaip berkaitan usia, telah dilancarkan.

Diberi nama ‘Break the Silver Ceiling: One Photo at a Time’, pameran di Our Tampines Hub (OTH) anjuran Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) itu berlangsung 1-6 Oktober sempena dengan Hari Antarabangsa Warga Senja.

Ia juga sejajar dengan inisiatif nasional Sihat Menua SG, yang bertujuan menyokong warga senja menua secara aktif, kekal berhubung secara sosial, dan dijaga dalam kalangan masyarakat mereka.

Pameran yang dilancarkan Pengerusi AIC, Dr Gerard Ee, di OTH pada 1 Oktober itu diharap dapat mentakrif semula erti penuaan di Singapura.

Semasa berucap di pelancaran itu, Dr Ee berkata gerakan baru ‘Break the Silver Ceiling’ atau Melepasi Batas Senja oleh AIC itu mentakrif semula erti penuaan di Singapura.

“Dengan niat yang baik, masyarakat seperti telah memasang penghadang atau batasan senja yang mentakrif apa yang patut atau tidak patut dilakukan warga senja.

“Menjadi seorang warga senja bukan hadnya, tapi membuka peluang yang mungkin tidak tersedia semasa kita masih muda,” katanya.

Beliau menambah bahawa sebagai sebuah masyarakat, kita perlu melihat kepada potensi dan keupayaan setiap orang, tidak kira usia.

“Kita tidak patut ditakrif dengan usia. Saya sekarang berusia 75 tahun, dan ia hanyalah angka.

“Kita perlu membentuk semula pandangan tradisional mengenai warga senja dan penuaan.

“Apa yang patut kita lakukan adalah meraikan semangat dan daya hidup hari tua kita,” tambahnya.

Menyentuh tentang kempen Break the Silver Ceiling, Dr Ee berkata ia sejajar dengan mandat AIC untuk menghasilkan satu masyarakat bersemangat yang mengupayakan masyarakat untuk hidup sempurna dan menua dengan baik.

Ia juga sejajar dengan inisiatif nasional Sihat Menua SG yang bertujuan menyokong warga senja menua secara aktif, kekal berhubung secara sosial dan dijaga dalam kalangan masyarakat mereka, tambahnya.

Dr Ee juga menekankan bahawa Singapura sedang menghadapi perubahan demografik.

Menjelang 2026, Singapura akan menjadi masyarakat yang amat tua, dengan warga senja melebihi generasi yang lebih muda.

Pada 2030, hanya enam tahun dari sekarang, seorang dalam setiap empat orang daripada rakyat Singapura akan berusia 65 tahun ke atas.

“Maksudnya, anda akan lihat lebih ramai golongan berusia 65 tahun ke atas berbanding generasi Z atau generasi Alpha,” katanya.

Sebanyak 40 foto memaparkan warga senja yang aktif dalam bidang masing-masing dipamerkan di OTH dalam pameran tersebut.

Menyentuh tentang kempen itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AIC, Encik Dinesh Vasu Dash, berkata:

“Demografi Singapura sedang beralih dan sudah sampai masanya untuk mendakap hari-hari tua kita sebagai bab baru dalam kehidupan.

“Kempen ini bukan sekadar memaparkan daya hidup warga senja, ia juga mengenai usaha mengalihkan sikap masyarakat dan memupuk masyarakat yang lebih inklusif dan menyokong.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg