Perpustakaan library@orchard akan ditutup sementara mulai 28 Oktober untuk pengubahsuaian dan akan dibuka semula sepenuhnya pada separuh kedua 2026.
Sebuah pameran mengenai transformasi digital Singapura akan diadakan di sana sebagai sebahagian daripada pengubahsuaian itu.
Beberapa seksyen khusus daripada pameran itu akan kekal di perpustakaan tersebut apabila ia dibuka semula sebagai ruang inovatif perpustakaan.
Bercakap kepada wartawan pada hari terakhir operasi perpustakaan itu pada 27 Oktober, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata dengan persekitaran pembelajaran di library@orchard, ia dapat membantu lebih ramai rakyat Singapura menghargai impak dan faedah teknologi digital.
“Kami ingin mereka mengetahui teknologi digital boleh membantu mereka berhubung ke masa lalu, masa kini dan berhubung antara satu sama lain.
“Dengan cara ini, teknologi digital mempunyai kaitan dengan kehidupan mereka,” kata Cik Teo, sambil mengatakan bahawa teknologi juga mampu menguatkan ikatan masyarakat.
Pameran yang diberi nama ‘#Heart&Soul: Pameran Perdana Negara Bijak’ itu akan dilancarkan pada pertengahan kedua 2025 di library@orchard.
Sebagai sebahagian daripada wawasan Negara Bijak 2.0 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 1 Oktober, pameran itu akan menggambarkan bagaimana transformasi digital dapat memberi kesan dan meningkatkan kehidupan rakyat Singapura.
Pameran itu akan membawa pengunjung melalui perjalanan pelbagai deria dan mengalami kuasa teknologi digital.
Mereka akan mengenali bagaimana daya usaha Negara Bijak merentasi sektor awam, swasta, dan masyarakat dapat membantu membina masyarakat inklusif secara digital dan berkembang maju bersama.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai pengubahsuaian library@orchard, yang dibina pada Oktober 2014, Cik Teo berkata bagi memastikan perpustakaan kekal relevan, ia perlu diperbaharui.
“Sepanjang sedekad lalu, kita telah melihat bagaimana tempat ini (library@orchard) menjadi pusat pembelajaran baik, terutamanya dalam kalangan peminat reka bentuk.
“Selain memanfaatkan sumber perpustakaan, pengunjung mengunjunginya untuk mempelajari kraf, berinteraksi secara kumpulan, membentuk sebuah masyarakat, dan menghadiri bengkel seni,” tambahnya.
Antara ciri baru perpustakaan itu ialah ruang kanak-kanak serta ruang inovatif yang dipacu teknologi interaktif dan imersif untuk memudahkan pembelajaran dan penemuan.
Pengurus Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Cik Subhana Mohamed Sharif, 45 tahun, berkata keputusan menambah ruang kanak-kanak di perpustakaan itu adalah maklum balas pengunjung.
“Pengubahsuaian ini adalah untuk meningkatkan pengalaman menyeluruh pengguna perpustakaan ini dari sudut usia yang berbeza.
“NLB juga mengambil kira maklum balas pengguna bagi perancangan pengubahsuaian ini, agar dapat (menarik) minat mereka untuk tahun yang akan datang,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa pengguna boleh memuat turun aplikasi mudah alih NLB untuk mendapat informasi lebih lanjut mengenai NLB.
Di hari terakhir perpustakaan itu, Cik Teo mengunjungi pameran “Reka Bentuk Untuk Semua: Satu Dekad Reka Bentuk, Seni dan Masyarakat” yang telah diadakan dari 8 Oktober hingga 27 Oktober.
Cik Teo mengunjungi pameran yang mengongsikan mengenai sejarah, ciri utama serta program yang diadakan di library@orchard sebelum beramah mesra dengan artis dan pereka bentuk yang terlibat dalam program ‘Resident’.
‘Resident’ merupakan sebuah program library@orchard, di mana artis menjadikan perpustakaan itu seperti studio mereka — menghasilkan kraf, mengadakan bengkel dan pameran.
Cik Teo turut melanggani dan mencuba sendiri beberapa aktiviti yang disediakan di reruai pembuatan zine, lukisan, cap penanda buku, dan manik.
Maklumat lanjut mengenai pembaharuan di library@orchard akan dikongsi pada masa akan datang.
Sepanjang penutupan itu, pengguna boleh melanggani perpustakaan berhampiran seperti Perpustakaan Awam Central di bangunan Perpustakaan Negara untuk menikmati perkhidmatan dan juga sumber NLB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg