Pancaran mistik ‘Batu Ghaib’ takrifan seniman muda tentang Batu Bersurat S’pura
Pancaran mistik ‘Batu Ghaib’ takrifan seniman muda tentang Batu Bersurat S’pura
Unsur sejarah, elemen dunia ghaib pada karya antara kerja seni pemasangan Festival Light to Night Singapore 2026
Kalau disebut tentang Batu Bersurat Singapura atau The Singapore Stone, yang terlintas di fikiran ialah artifak bersejarah yang diselubungi misteri dan cukup berharga bagi Singapura.
Ia merupakan sebahagian batu tongkol pasir atau sandstone raksasa yang asalnya terletak di muara Sungai Singapura.
Bagaimanapun, apabila ditanya seniman muda, Cik Syahmin Huda, 25 tahun, mengenai interpretasinya tentang Batu Bersurat Singapura ini, beliau menghasilkan kerja seni pemasangan bagi Festival Light to Night Singapore 2026 untuk melahirkan apa yang terbuku di hati.
Kelihatan unsur sejarah dan elemen dunia ghaib terikat pada karyanya yang bertajuk Batu Ghaib ini yang berasaskan cahaya di Esplanade Park.
Ia mengajak penonton untuk merenung hasil peninggalan sejarah.
Berpucuk daripada minatnya terhadap bidang geologi (kaji bumi), pendekatan kreatif Cik Syahmin terhadap Batu Bersurat Singapura ini bukan sahaja dengan mencipta replika batu itu semata-mata.
Sebaliknya, yang lebih menarik, beliau turut menyuntikkan elemen spiritual dan mistik yang dianggap memang sebati dalam budaya masyarakat tempatan.
Ini merupakan kali pertama Cik Syahmin, lulusan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa)-Universiti Seni London dalam jurusan Seni Halus, menghasilkan seni pemasangan di kawasan umum, sempena Festival Light to Night Singapore 2026.
Beliau telah menjalani fasa kajian selama dua bulan untuk mendapatkan maklumat tentang Batu Bersurat Singapura.
Beliau telah mengkaji teks Hikayat Abdullah, karangan Munshi Abdullah, untuk menyelidiki sejarah batu ini yang terdapat dalam teks tersebut.
Selain itu, Cik Syahmin juga telah melawat Muzium Negara Singapura yang menyimpan serpihan batu itu untuk mengkajinya dengan lebih mendalam.
Pemilihan tempat pemasangan seni ini di Esplanade Park juga cukup simbolik.
“Kalau ikut sejarah, Batu Bersurat Singapura ditemui di muara Sungai Singapura. Jadi, dengan meletakkan seni pemasangan ini di Esplanade Park, ia cukup rapat dengan kaitan sejarah,” jelas Cik Syahmin lagi.
Beliau turut berhadapan dengan kesukaran membaca dan memahami inskripsi atau tulisan berukir yang wujud pada batu asal.
Ini memandangkan Cik Syahmin dahulu mempelajari bahasa Mandarin, dan bukannya Bahasa Melayu di sekolah.
Namun, beliau tetap ingin menonjolkan ‘kekuasaan bahasa’ yang terkandung dalam peninggalan sejarah ini.
Justeru, seni pemasangan Cik Syahmin ini memperlihatkan elemen ghaib dan mistik melalui seni kata jampi “timbul tenggelam” yang dilakarkan pada Batu Bersurat Singapura.
Kecenderungannya untuk mendalami elemen ghaib atau mistik terdorong daripada keyakinannya akan kewujudan ‘alam’ ini dalam pelbagai ranah kehidupan masyarakat.
Berkongsi tentang perasaannya apabila melihat seni pemasangannya tersergam megah di Esplanade Park, Cik Syahmin berkata:
“Apabila saya melihat Batu Ghaib ini pada siang hari, ia kelihatan janggal dan tidak kena tempat. Namun, apabila saya melihatnya pada waktu malam, saya rasa ‘gerun’ dek hasil karya ini dengan cahaya yang terpancar pada jampi ‘timbul tenggelam.”
Cik Syahmin berharap apabila pengunjung melihat seni pemasangan Batu Ghaib ini, ia akan mendorong mereka agar mengamati dan merenung ‘hubungan’ mereka dengan alam ghaib.

