PAKAR perubatan berpendapat biarpun masih terlalu awal untuk menjangka bila Singapura akan sampai ke tahap endemik Covid-19, pihak berkuasa kelihatan sudah mula menyesuaikan warga dengan langkah-langkah bagi menghadapi kemungkinan virus itu menjadi endemik.
Langkah baru seperti menjalankan ujian massa ke atas mereka yang kurang risiko dijangkiti atau tidak terlalu terdedah kepada jangkitan boleh menjadi antara norma baru dalam kehidupan warga di masa depan.
Vaksinasi dan langkah pencegahan pula boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan.
Sementara itu, kesediaan kit ujian diri yang mudah didapati di farmasi boleh membantu mencegah penularan virus itu dan membolehkan warga hidup, bekerja dan bergerak lebih bebas biarpun Covid-19 masih wujud.
Dengan langkah-langkah seperti demikian warga Singapura akan lebih mudah menyesuaikan kehidupan sekiranya Covid-19 menjadi endemik, kata Dr Jazlan Josooph dari Hospital Raffles.
Beliau menambah bahawa rancangan Singapura membuat persiapan sekiranya Covid-19 menjadi endemik merupakan sesuatu langkah yang progresif.
"Ini merupakan sesuatu perkembangan yang biasa bagi kebanyakan penyakit berjangkit.
"Jadi ia baik untuk kita bersiap sedia terlebih dahulu dan membuat persiapan dengan secukupnya," katanya.
Namun pakar obstetrik dan gynekologi itu berkata ia masih terlalu awal untuk menjangkakan bila Singapura akan menjejak tahap itu memandangkan terdapat jenis mutasi virus Covid-19 yang lebih mudah menular.
"Inilah cabarannya sekarang. Nampaknya virus itu berupaya berubah dengan pantas dengan menghasilkan mutasi dan varian yang lebih mudah menular," ujar beliau.
Pada masa yang sama, beliau juga memberi amaran masalah yang mungkin timbul sekiranya Covid-19 dianggap sebagai penyakit flu biasa.
"Ini kerana jangkitan virus itu boleh menyebabkan isu kesihatan yang lebih serius berbanding flu biasa kerana ia mudah menular dan bakal mengancam nyawa," kata Dr Jazlan.
Beliau menambah sekiranya pesakit Covid-19 tidak mengalami simptom serius, mereka boleh menjalani pemulihan sendiri di rumah dan ini akan membantu mengurangkan beban ke atas sistem kesihatan negara.
"Namun ini hanya berlaku jika kes-kes itu tidak serius dan tidak memerlukan rawatan lanjut daripada hospital seperti rawatan oksigen dan rawatan unit jagaan rapi (ICU).
Dr Jazlan berkata ia juga bergantung kepada latar belakang pesakit itu, sama ada beliau menghidap penyakit kronik, sedang hamil dan sebagainya.
"Endemik atau pandemik, ia tetap tergantung kepada betapa serius simptom yang dihidapi seorang pesakit itu. Jika ia serius, kami akan tetap merawatnya di hospital."
Justeru satu cara menangani Covid-19 ialah mencegah jangkitan dan vaksin merupakan antara senjata menangani virus itu, kata pakar.
Doktor keluarga, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan berkata vaksin yang sedia ada berkesan meredakan masalah serius disebabkan koronavirus dan mutasi yang ada sekarang.
Namun apabila mutasi baru berlaku dan ianya tidak diliputi oleh vaksin tersedia, pihak kesihatan seluruh dunia perlu bergegas mengeluarkan vaksin baru yang berupaya menangkis kesan varian baru itu dan kemudian bergegas menyuntik manusia seluruh dunia, katanya.
Sebab itu, beliau berkata, langkah-langkah pengurusan selamat seperti memakai pelitup, jarak selamat masih perlu diamalkan sehingga Tahap Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) jingga diturunkan ke tahap hijau dan Singapura akan perlu memantau keadaan secara kerap, sama seperti penyakit lain seperti denggi.
"Serupa dengan penularan denggi dari masa ke masa misalnya, begitu juga dengan Covid-19. Jika ada kelompok virus itu, maka kelompoknya perlu dikekang dari menular," tambah Dr Zuraimi.
Dalam komentar yang disiarkan di akhbar ini semalam, pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) berkata Singapura sedang membuat persiapan sekiranya Covid-19 menjadi endemik atau yang akan terus wujud dalam masyarakat, seperti demam selesema biasa.
Apabila ia berlaku, pendekatan pemerintah untuk menangani Covid-19 mungkin berubah, termasuk membolehkan orang yang dijangkiti untuk pulih di rumah, tidak menjejak hubungan rapat kes Covid-19 secara meluas.
Menyusuli itu, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan berkata, dengan manusia hidup bersama virus itu, ia tidak bermakna "kita tidak dapat mengawalnya."
"Realitinya adalah dengan ramai orang di serata dunia dijangkiti Covid-19 ia akan terus menjalani mutasi.
"Virus itu boleh berubah menjadi lebih lemah namun varian delta dan varian delta plus (varian yang lebih mudah berjangkit) bakal terus mencabar dunia perubatan," kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Pacific Healthcare itu.
Penguasa kesihatan serta masyarakat sejagat perlu mempelajari daripada pengalaman menangani pandemik ini dan kemudian bertindak dengan pantas, katanya.
"Strategi baru mungkin akan diterapkan dan semua orang perlu memainkan peranan mereka.
"Kami sudah melaksanakan penilaian risiko dan dengan itu akan mula pelajari bagaimana untuk hidup (dengan Covid-19) sama seperti dengan penyakit lain seperti denggi."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg