PANDEMIK Covid-19 ini merupakan pengalaman paling perit bagi Encik Kassim Bachik.
Ini kerana bapa dua anak yang berusia 55 tahun ini terpaksa diberhentikan kerja sebagai pereka grafik.
Namun, di sebalik kesedihan itu, timbul pula iltizam baru.
Malah, iltizam itu bertemakan tentang pengalaman yang dilaluinya serta warga Singapura sepanjang dua tahun pandemik ini.
GELAGAT BOB
Baru-baru ini, Encik Kassim telah menghasilkan buku komik berbahasa Inggeris berjudul 'Life as Bob', yang menggambarkan pengalaman harian yang dialami warga Singapura semasa tempoh pandemik ini menerusi lensa watak bernama Bob, tetapi dari sudut yang agak lucu dan menghiburkan.
"Selalunya apabila kita cakap tentang Covid-19, ia merupakan sesuatu yang serius. Saya ingat ada yang marah-marah kerana tidak dapat berjumpa dengan keluarga semasa musim perayaan, ada yang kehilangan pekerjaan seperti saya, dan ada juga yang perniagaan terjejas atau bagi para graduan universiti, majlis konvokesyen beralih pula ke dalam talian.
"Jadi, saya terfikir mengapa tidak membukukan dan mengabadikan kisah sedemikian, tetapi dengan cara yang lebih santai, selain menerapkan nilai yang didakap warga seperti daya tahan dan bersemangat waja," ujar beliau.
Menurut Encik Kassim, beliau mula terfikir tentang idea tersebut selepas beberapa bulan duduk di rumah dan mengambil masa selama enam bulan untuk menghasilkannya.
"Memandangkan saya tiada kerja semasa pandemik, saya terfikir mengapa tidak hasilkan buku komik, lagipun saya boleh melukis," ujarnya.
Sebelum ini, Encik Kassim pernah menghasilkan buku 'Kenanganku' semasa Singapura meraikan ulang tahun ke-50, yang mengisahkan pengalamannya membesar di kampung sekitar Geylang Serai.
Beliau juga pernah menyumbang lukisan kartun kepada akhbar ini pada 1998 dalam ruangan Coretan Remaja.
Malah, beliau, yang memang minat melukis sejak kecil, meraih inspirasi daripada kartunis terkenal Malaysia, Datuk Lat.
"Komik yang dihasilkan Datuk Lat amat simple tetapi berkesan. Inilah yang ingin saya terapkan.
"Lukisan bagi karakter utama Bob dalam komik saya ini seakan mempunyai lenggok yang sama seperti Lat. Cuma bezanya, ia diselitkan dengan beberapa butiran tambahan yang lebih teliti dan terperinci," katanya.
Antara babak menarik yang diketengahkan dalam buku komik 100 muka surat ini termasuk tentang keperluan mengamalkan langkah pengurusan selamat.
TIDAK MAHU GURIS HATI SESIAPA
"Misalnya, ada seseorang di dalam MRT yang menggesa orang di sebelahnya agar mengamalkan jarak jauh satu meter, tetapi lelaki itu membalas balik dengan menyatakan bagaimana beliau dapat melakukan demikian dalam MRT yang penuh sesak," katanya.
Namun, cabarannya ialah untuk memastikan setiap adegan yang dipaparkan itu tidak mengguris hati mana-mana pihak.
"Idea itu memang sentiasa ada, terutamanya apabila ilham datang selepas membaca artikel mengenai sesuatu perkara yang berlaku semasa pandemik ini, tetapi bagaimana untuk mengolah ilham tersebut sebagai satu adegan yang tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak, itulah cabarannya," katanya.
Bagaimanapun, Encik Kassim, yang berharap dapat menghasilkan lebih banyak buku jenis komik. tetapi untuk peringkat murid sekolah juga, mahu ramai tersenyum apabila membaca coretannnya.
"Saya mahu kita tercuit hati dengan gelagat kita sendiri sepanjang pandemik ini.
"Pandemik ini juga mengajar kita bahawa kita perlu terdedah dan bersifat terbuka kepada perubahan dan perubahan itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja.
"Yang penting ialah bagaimana kita menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut dan bersikap positif terhadapnya," katanya lagi.
Buku 'Life as Bob' berharga $16.50 senaskhah dan boleh dibeli dengan memesan melalui akaun media sosial Encik Kassim sendiri iaitu di Facebook, Qasem Qasem atau di Instagram, Life as Bob.
Selalunya apabila kita cakap tentang Covid-19, ia merupakan sesuatu yang serius. Saya ingat ada yang marah-marah kerana tidak dapat berjumpa dengan keluarga semasa musim perayaan, ada yang kehilangan pekerjaan seperti saya, dan ada juga yang perniagaan terjejas atau bagi para graduan universiti, majlis konvokesyen beralih pula ke dalam talian. Jadi, saya terfikir mengapa tidak membukukan dan mengabadikan kisah sedemikian, tetapi dengan cara yang lebih santai, selain menerapkan nilai yang didakap warga seperti daya tahan dan bersemangat waja. - Encik Kassim Bachik, pelukis dan penulis buku komik berbahasa Inggeris, 'Life as Bob'.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg