Topic followed successfully
Go to BHkuPandemik Covid-19 bantu tetap semula corak kehidupan, imbangi semula kerja dan hubungan keluarga: Chan Chun Sing
Pandemik Covid-19 bantu tetap semula corak kehidupan, imbangi semula kerja dan hubungan keluarga: Chan Chun Sing
Pandemik Covid-19 bantu tetap semula corak kehidupan, imbangi semula kerja dan hubungan keluarga: Chan Chun Sing
PANDEMIK Covid-19 adalah peluang untuk menetapkan semula corak kehidupan dan mengimbangi semula kerja dan hubungan keluarga, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, pada Ahad (19 Jun).
Tambahnya, aturan kerja baru di rumah telah memberi peluang kepada keluarga untuk meluangkan lebih banyak masa sesama mereka.
Encik Chan berucap di acara Dad's Day Out yang diadakan di Palawan Green di Sentosa, acara kemuncak kempen Meraikan Bapa selama dua minggu sempena memperingati Hari Bapa.
Dianjurkan Center for Fathering, Mums for Life, Dads for Life, Families for Life dan Mediacorp, kempen Meraikan Bapa bertemakan "Bapa Membuat Perbezaan" diadakan sebagai menghargai bapa dan usaha mereka.
Encik Chan, tetamu kehormat pada majlis itu, menyatakan dua tahun lalu adalah sukar disebabkan wabak Covid-19 dan mengakui bahawa mungkin masih terdapat beberapa ketidakpastian.
"Walau apa pun, saya fikir dua tahun kebelakangan ini juga merupakan satu rahmat kepada kita dalam beberapa aspek lain, di mana kita dapat memberi tumpuan semula dan memikirkan semula keutamaan kita," tambahnya.
"Jadi jangan biarkan satu krisis menjadi sia-sia, dan saya fikir ini adalah salah satu peluang di mana kita boleh menetapkan semula corak kehidupan dan menetapkan semula hubungan keluarga kita sendiri."
Pada acara Dad's Day Out pada Ahad, yang terpaksa ditiadakan selama dua tahun akibat Covid-19, Encik Chan dan keluarga peserta mengikat reben pada jambatan gantung di Sentosa untuk mengikrarkan komitmen kepada keluarga masing-masing.
Kira-kira 5,000 reben dijangka memenuhi jambatan itu menjelang akhir acara. Keluarga juga boleh melawat beberapa hentian khas yang ditetapkan di merata Sentosa untuk menyelesaikan tugasan dan meneroka pelbagai laluan.

