Topic followed successfully
Go to BHkuPanduan jaga kereta, bijak pandu untuk jimat petrol
Panduan jaga kereta, bijak pandu untuk jimat petrol
Panduan jaga kereta, bijak pandu untuk jimat petrol
TIDAK sukar untuk berjimat sedang harga minyak terus melonjak.
Berikut perkongsian seorang pengurus digital di sebuah syarikat automotif, Encik Azfar Hashim, 38 tahun, mengenai cara berjimat:
1) Pastikan kereta dalam keadaan baik.
Contoh: Enjin 'sihat' (diselenggara dengan kerap) dan transmisi berkesan. Jika ragu-ragu, bawalah kereta ke mekanik bagi mendapatkan perkhidmatan diagnostik - mekanik akan mendiagnosis kesihatan kereta anda.
2) Pastikan tayar mempunyai tekanan angin mencukupi.
Sekali seminggu, periksa paras tekanan angin kerana jika tayar kekurangan angin, ia akan menyebabkan kereta memerlukan lebih kuasa untuk bergerak.
3) Gunakan gred petrol betul.
Bergantung pada jenis dan model kereta, pengeluar kereta selalunya mengesyorkan petrol gred 95 memadai.
Kajian juga menunjukkan bahawa menggunakan petrol gred premium tidak memberi perbezaan ketara kepada prestasi kenderaan.
(Ada andaian mengisi gred premium - seperti gred 98 - sekali sebulan adalah baik bagi 'membersihkan sistem bahan api kereta'. Betul atau tidak andaian ini, selagi anda mampu membelinya, boleh diteruskan.)
4) Gunakan 'petrol additives'.
Dengan adanya pelbagai jenama di pasaran, petrol additives (iaitu bahan tambahan petrol) digalak kerana ia membersihkan sistem bahan api kereta.
Apabila digunakan seperti yang disyorkan pengeluar, petrol additives memastikan seluruh sistem bahan api dibersihkan daripada kotoran dan pembentukan karbon, lantas membuat kereta lebih cekap.
SEMASA MEMANDU
1) Jangkakan keadaan trafik agar dapat mengelak memecut atau membrek mendadak.
Ini kerana memecut dan membrek mendadak boleh mengakibatkan kenderaan kehilangan kecekapan petrol antara 10 dengan 40 peratus, menurut sebuah kajian oleh Jabatan Tenaga Amerika Syarikat.
2) Pandu dengan bijak.
Ada beberapa aplikasi telefon pintar yang memberitahu keadaan trafik di jalan raya pada masa sebenar (real time). Gunakannya untuk merancang perjalanan anda, elakkan jalan sesak atau sibuk.
CARA LAIN
1) Elakkan enjin yang terbiar (idling engine).
Jika anda perlu menunggu lebih seminit, disyorkan mematikan enjin ketika menunggu.
Ia bukan mengelakkan pembaziran petrol sahaja, bahkan baik untuk alam sekitar.
Malah, membiarkan enjin terbiar adalah salah dari segi undang-undang kerana ia menyumbang kepada pencemaran udara. Anda boleh disaman oleh Agensi Sekitaran Nasional (NEA).
2) Tetapkan suhu sistem penghawa dingin pada tahap optimum.
Ini kerana apabila sistem penghawa dingin kereta ditetapkan pada suhu paling sejuk, ia akan mengakibatkan beban tambahan pada enjin, sekali gus menyebabkan kereta kehilangan kecekapan minyak sekitar 20 peratus.
Bagi keadaan cuaca Singapura, suhu antara 22 hingga 24 darjah Celsius memadai.
3) Keluarkan barang tidak digunakan dari kenderaan.
Setiap barang menambah berat kepada kenderaan, membuat ia memerlukan bahan api berlebihan untuk bergerak. Ini menambahkan lagi kos petrol.
Jika anda seorang pemandu yang menganggap kereta anda 'stor bergerak', lakukanlah housekeeping.
4) Tanggalkan rak bumbung atau bike carrier pada kereta anda, jika ia jarang digunakan.
Ini akan mengurangkan daya seret (drag force) kereta anda, sekali gus menggunakan kurang petrol.
5) Elak gunakan rim besar dan tayar lebih lebar.
Menggunakan rim dan tayar lebih besar membuat kereta kelihatan lebih cantik dan sporty, tetapi ini mengurangkan kecekapan bahan api keseluruhan.
Rim lebih besar selalunya lebih berat, sementara tayar lebih lebar memerlukan lebih kuasa untuk menggerakkan kereta.
Kombinasi Rim lebih besar dan tayar lebih lebar akan mengakibatkan kekurangan kecekapan petrol.
6) Bodykit dan spoiler membuat kereta kurang cekap.
Walaupun kereta kelihatan lebih mengancam, ia membuatnya kurang cekap - setiap tambahan pada luaran kenderaan mendedahkannya kepada daya seret.
