GOLONGAN belia akan diberikan ruang untuk mencorak dasar negara bersama pemerintah melalui panel baru yang bakal dibentuk.

Panel Belia yang akan diperkenal lewat 2023 itu dijangka membolehkan saranan idea dari belia untuk dikemukakan, dibahaskan dan dipertimbangkan di Parlimen, ujar Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Mengumumkan langkah itu di Parlimen, Encik Tong berkata belia telah mengutarakan keinginan yang tinggi dalam menyumbang kepada pembentukan huraian terhadap isu-isu yang dihadapi Singapura dalam dunia yang lebih kompleks ini.

Mereka juga ingin melihat maklum balas dan saranan mereka dipertimbang dan Panel Belia tersebut diharap dapat memenuhi keperluan ini, kata Encik Tong.

Panel yang bakal dipimpin belia sendiri itu disokong Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan agensi pemerintah lain.

Topik atau dasar yang dibincangkan akan dipilih berdasarkan isu yang lebih dekat dengan hati belia.

Pemerintah juga akan berkongsi keseimbangan serta data yang telah diperolehi untuk mempertimbangkan aspek dasar yang berbeza dengan golongan belia, kata Encik Tong.

"Ini akan memberikan ruang kepada orang muda memimpin perbincangan serta membentuk saranan. Bersama, kami akan membentuk saranan dasar dan mengemukakannya kepada pemerintah.

"Saranan ini akan dipertimbang secara serius... Saranan yang perlu dibincangkan dengan lanjut - kami akan mempertimbangkannya untuk dikemukakan di Parlimen," katanya.

Tambahnya, ini bermakna belia yang terlibat juga dapat melihat kesan saranan serta maklum balas mereka.

Butiran lanjut mengenai Panel Belia itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pemerintah akan mengadakan rundingan berbeza dengan belia untuk mengumpulkan saranan tentang aspek berbeza yang ingin diterapkan dalam panel tersebut.

"Kami mengalu-alukan penglibatan aktif belia dalam membentuk masa depan negara.

"Saya yakin golongan belia menyambut baik peluang ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Encik Tong menekankan pentingnya inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura dalam memperkukuh kompak sosial negara dan membawa kesemua warga ke arah satu matlamat.

Satu teras penting usaha tersebut adalah "perpaduan" di mana warga Singapura berkumpul untuk meneroka ciri yang menyatupadukan warga, kata Encik Tong.

"Ini bukan agenda baru - perpaduan nasional merupakan antara keutamaan kami dalam tahun-tahun sebelum ini.

"Namun, aspirasi dan cabaran kian berubah, konteks dalam mana kita mengatasi isu-isu ini juga sudah berubah," ujarnya.

Encik Tong menambah, Singapura perlu memahami konteks tempatannya serta ciri masyarakat yang dibentuk bangsa dan agama berbeza, dalam mencorak langkah bersama menghadapi cabaran masa akan datang.