SEBUAH panel penasihat hukuman telah dibentuk bagi menyediakan lebih banyak ketekalan, ketelusan dan kesedaran tentang hukuman yang dijatuhkan mahkamah di sini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis (2 Jun), Kementerian Undang-Undang (MinLaw) berkata panel ini boleh mengusulkan pendekatan termasuk dalam menjatuhkan hukuman berdasarkan bahaya kemudaratan dan kesalahan serta faktor yang memburukkan dan mengurangkan kesalahan.

Garis panduan panel ini yang terbuka untuk dibaca orang awam boleh digunakan oleh pihak pendakwa atau pembela dalam hujahan di mahkamah tetapi tidak terikat sah secara guaman.

"Ini akan menyediakan lebih penjelasan mengenai hasil hukuman yang kemungkinan dijatuhkan dan faktor hukuman yang relevan," tambah MinLaw.

Panel ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan, Steven Chong dan dianggotai 11 anggota.

Mereka terdiri daripada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia serta Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, hakim Mahkamah Agung,See Kee Oon, Hoo Sheau Peng dan Vincent Hoong; Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong; Setiausaha Tetap (Ehwal Dalam Negeri), Pang Kin Keong; Setiausaha Tetap (Undang-Undang), Loh Khum Yean; Registrar Mahkamah Negara Christopher Tan Pheng Wee; Hakim Daerah Kow Keng Siong, Timbalan Pesuruhjaya Siasatan dan Risikan di Pasukan Polis Singapura, Florence Chua dan Encik Sunil Sudheesan daripada Persatuan Undang-Undang Singapura.

Panel ini boleh merujuk pada pemegang taruh relevan dalam tempoh menyiapkan garis panduan ini, kata MinLaw.

MinLaw menambah sewaktu mesyuarat pertama panel ini, anggota panel telah bersetuju mengkaji bidang di mana garis panduan yang ada berpotensi berguna termasuk garis panduan mengenai prinsip hukuman umum.

Laman panel ini boleh dilungsuri di https://www.sentencingpanel.gov.sg/

Dalam mengumumkan penubuhan panel ini di Parlimen pada 5 Mac, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam berkata kementeriannya telah mengkaji pengalaman bidang kuasa lain seperti England, Wales dan Scotland, dalam memutuskan bagi membangun panel ini.

Buat masa ini, garis panduan hukuman dikeluarkan dalam bentuk penighakiman mahkamah.