PANGLIMA Tentera Udara Diraja Brunei (RBAirF) Brigedier Jeneral (BG) (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim telah dianugerahkan anugerah ketenteraan berprestij Singapura, Pingat Jasa Gemilang (Tentera) oleh Presiden Halimah Yacob.

Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen telah memberikan anugerah tersebut kepada BG (U) Dato Sharif Ibrahim di sebuah acara yang diadakan di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Rabu (11 Mei).

BG (U) Dato Sharif Ibrahim diberikan anugerah itu atas sumbangan beliau dalam mengukuhkan hubungan pertahanan antara Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan RBAirF.

Di bawah kepimpinannya, kedua-dua RSAF dan RBAirF telah meluaskan kerjasama pertahanan dua hala serta meningkatkan interaksi profesional dan peribadi melalui lawatan peringkat tinggi, menghadiri kursus dan pertukaran profesional, kata Mindef dalam kenyataannya.

Dalam pada itu, BG (U) Dato Sharif Ibrahim berada di Singapura dari 10 hingga 13 Mei 2022 bagi lawatan perkenalan.

Beliau telah melawat Pangkalan Udara Sembawang di mana beliau menaiki helikopter H225M bagi penerbangan suai kenal.

BG (U) Dato Sharif Ibrahim turut melawat Hangar Hijau Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan A330 RSAF di Pangkalan Udara Changi.

Esok, beliau akan melawat Komand Kenderaan Udara Tanpa Pemandu di Kem Murai.