DARIPADA sejumlah 15 kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat yang dikenal pasti hari ini (Rabu, 15 Julai), 11 daripadanya dikesan hasil usaha pemantauan dan proses imbasan Kementerian Kesihatan (MOH) yang proaktif.
Tiga orang pula sudah diarahkan menjalani kuarantin awal sebelum ini.
14 kes yang dikesan tidak menampakkan sebarang tanda-tanda jangkitan dan hanya dikenal pasti menerusi ujian proaktif.
Demikian jelas kenyataan MOH yang memberi butiran terkini mengenai perkembangan Covid-19 Rabu malam (15 Julai).
Lima daripada kes dalam masyarakat hari ini berkait rapat dengan kes sebelum ini atau kelompok yang terbentuk. Dari jumlah tersebut pula, tiga kes dikenal pasti sebagai kenalan dekat kes yang disahkan sebelum ini dan telah diuji sewaktu tempoh kuarantin bagi menentukan kedudukannya walaupun individu berkenaan tidak menampakkan sebarang tanda sakit.
Baki dua kes lain juga tidak menunjukkan tanda jangkitan dan menjalani ujian 'swab' sebagai sebahagian proses imbasan pekerja sektor binaan dari masa ke masa.
Hari ini, 249 kes baru dikenal pasti dengan sebilangan besarnya merupakan pemilik pas kerja yang menetap di dormitori.
Sebanyak 251 kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara menyeluruh, 42,988 pesakit sudah pulih daripada jangkitan ini dan dibenarkan pulang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg