ANAK mantan pengerusi Changi Airport Group (CAG) telah disiasat atas kesalahan pembohongan, menyusuli kes kecurian melibatkan bekas pembantu rumah keluarganya, Cik Parti Liyani.
Encik Karl Liew telah membuat beberapa dakwaan dalam kes berkenaan dengan hakim Mahkamah Tinggi telah mendapatinya sebagai suspek, termasuk pengakuannya memakai kemeja-T wanita.
Dalam menyampaikan kenyataan kementeriannya berkenaan kes itu pada Rabu (4 November), Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam menyatakan terdapat banyak aspek perilaku dan bukti Encik Liew sewaktu perbicaraan yang dianggap "sangat tidak memuaskan" dan menimbulkan "keraguan".
"Melihat pada bukti yang dibentangkan, tanggapan yang seseorang itu dapat adalah wujud semacam sikap sombong dalam keluarga Liew, dengan beberapa barangan yang dikenal pasti dimiliki mereka dan dengan cara nilai-nilai tertentu dikaitkan pada beberapa barangan," jelas Encik Shanmugam kepada Parlimen, sambil menambah wujud persoalan bagaimana anggota keluarga Liew bertindak dalam hal sebegini dan aspek lain dalam kehidupan.
Sebagai contoh, Encik Liew membuat pengakuan bahawa dompet Gucci, Braun Buffel dan jam tangan Helix - yang ditemui dalam hak milik Cik Parti - diberikan kepadanya oleh anggota keluarganya.
Sebaliknya, tiada seorang pun dalam keluarga itu termasuk Encik Liew Mun Leong, pengerusi CAG, yang mengingati mereka memberikan barangan itu kepada Encik Karl Liew.
Encik Karl Liew juga telah memberitahu mahkamah bahawa beliau telah membeli cadar, yang juga ditemui dalam hak milik Cik Parti, daripada Habitat di United Kingdom, sedangkan cadar itu memiliki corak yang sama dengan penutup kuilt dengan label Ikea.
Kenyataannya itu juga bercanggahan dengan kenyataan isterinya yang menyatakan beliau tidak pernah melihat cadar itu di biliknya atau di katilnya.
Encik Liew juga mendakwa memiliki beberapa pakaian wanita.
Encik Shanmugam menjelaskan sejak itu, Encik Liew telah pun disoal siasat mengenai kenyataan yang tidak konsisten dengan beliau telah memberikan kenyataan sama ada barangan yang diketengahkan Mahkamah Tinggi itu berada dalam tangannya.
Menurut Encik Shanmugam lagi, dalam membuat laporan polis, seseorang itu perlu serius dalam membuat tuntutan mengenai barangan yang dipersoalkan.
"Tidak perlu penceritaan menyeluruh tetapi ia perlu dilakukan dengan penilaian secara berhati-hati," kata Encik Shanmugam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg