Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen lulus Rang Undang-Undang Lambang Kebangsaan

Beri kelonggaran kibar bendera di luar Hari Kebangsaan; guna imej lambang negara luah kebanggaan terhadap negara
Sep 14, 2022 | 5:30 AM
KEBANGGAAN: Rakyat kini boleh melahirkan kebanggaan mereka kepada negara dengan menggunakan imej lambang negara. - Foto fail
KEBANGGAAN: Rakyat kini boleh melahirkan kebanggaan mereka kepada negara dengan menggunakan imej lambang negara. - Foto fail -

ORANG ramai akan dapat mempamerkan bendera Singapura di luar tempoh Hari Kebangsaan dalam keadaan yang sesuai setelah Rang Undang-Undang Lambang Kebangsaan diluluskan di Parlimen semalam.

Undang-undang baru itu memperuntukkan orang yang ditetapkan - seperti Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia - bagi membenarkan atau melarang penggunaan lambang kebangsaan di bawah peraturan.

Selain itu, penalti maksimum bagi penyalahgunaan lambang kebangsaan akan dinaikkan - daripada $1,000 sekarang kepada $30,000 dan/atau penjara enam bulan.

Undang-undang baru itu akan menggantikan Akta Senjata, Bendera dan Lagu Kebangsaan Singapura (Safna) 1959.

"Sedang negara kita membangun, warga Singapura juga bertambah dalam kebanggaan dan luahan cinta mereka terhadap negara kita. Semakin sering, warga Singapura berusaha menggunakan bendera dan imejnya untuk menunjukkan kebanggaan dan perpaduan negara mereka dalam cara yang tidak pernah dijangka pada 1959," kata Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling.

Beliau menambah, apabila ia digubal, Akta Safna dan peraturannya mengehadkan penggunaan bendera negara bagi mengelakkan kemungkinan penyalahgunaan.

Tetapi hari ini, warga Singapura mahu meluahkan rasa cinta mereka kepada negara dalam banyak cara kreatif, seperti ahli kelab berbasikal mahu meletakkan imej bendera di jersi berbasikal, kata Cik Low.

Teknologi juga telah mewujudkan cara baru bagi penggunaan imej bendera Singapura.

Justeru pemerintah telah menjalankan semakan untuk meneliti semula peraturan lambang kebangsaan dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) telah mendampingi warga mengenai rangka kerja perundangan dan garis panduan yang mengawal penggunaan lambang negara.

"Rang undang-undang ini bertujuan menangani perubahan dan perkembangan dalam landskap dan konteks semasa teknologi dan media yang berkembang pesat.

"Ia juga akan menyediakan perlindungan yang lebih menyeluruh bagi lambang kebangsaan daripada penyalahgunaan," kata Cik Low.

Undang-Undang itu mengusulkan tiga perubahan utama iaitu penyertaan lambang seperti ikrar, bunga kebangsaan dan lambang kepala singa yang diperkenalkan selepas 1959, serta simbol Presiden dan mohor awam; peruntukan untuk orang yang ditetapkan membenarkan atau melarang penggunaan lambang di bawah peraturan, dan kemas kini ke atas penalti maksimum bagi pelanggaran akta.

Beberapa anggota parlimen termasuk Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) telah menyuarakan sokongan terhadap undang-undang baru itu.

Encik Yip turut bertanya apakah perundangan baru itu meliputi penambahan lambang baru.

Cik Low berkata: "Parlimen perlu meminda undang-undang untuk menambah lambang kebangsaan baru. Buat masa ini kami tidak menjangkakan keperluan atau keinginan untuk menambah sebarang lambang kebangsaan baru.

"Saya ingin memberi jaminan kepada anggota bahawa sebarang perubahan ketara kepada lambang tidak akan diambil mudah."

Encik Leon Perera (GRC Aljunied) pula dalam bahagian ucapannya yang disampaikan dalam Bahasa Melayu berkata:

"Bila bercakap tentang sesuatu sebagai simbolik, kadangkala ia bermakna ia kurang berharga dan kurang penting daripada isu-isu kehidupan seharian.

"Namun simbol itu penting. Simbol-simbol kenegaraan kita harus dipandang oleh semua rakyat Singapura sebagai berharga."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg