Gembira tidak terkata dan sangat bersyukur. Akhirnya penantian selama beberapa tahun untuk mendapat rumah sendiri bakal menjadi kenyataan.
Itulah perasaan seorang ibu bekas penagih yang ingin kembali ke pangkal jalan apabila menerima surat Kelayakan Flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi sebuah flat tiga bilik baru-baru ini.
“Saya berasa sangat bersyukur dan gembira. Inilah peluang saya membina hidup baru yang lebih baik bersama suami dan anak tunggal saya,” kata Cik Norish, 50-an tahun yang tidak mendedahkan nama sebenarnya.
Menurut Cik Norish, beliau telah berusaha memohon pelbagai skim untuk mendapatkan rumah sendiri tetapi gagal. Namun, permohonan terbarunya setahun lalu akhirnya berjaya.
Menyingkap masa silamnya, beliau mendedahkan bahawa dirinya telah keluar masuk penjara sekitar lima kali, terakhir dari 2018 hingga 2020.
Namun, pada 2020, keinginan untuk kekal bersih daripada dadah menjadi lebih kuat demi anaknya.
Beliau telah secara gigih menjalani integrasi semula dalam masyarakat dengan sokongan program Rangkaian Sokongan Masyarakat (ComLink).
Suaminya, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Ilhan, berusia 40-an tahun, juga bekas seorang penagih.
“Meskipun saya banyak berbuat salah, ayah saya pernah berkata ‘cinta seorang ayah sehingga akhir hayat’. Beliau dan Allahyarham ibu telah membantu menjaga anak saya ketika saya dan suami di penjara.
“Saya berjanji ingin menebus kesalahan saya terhadap kedua orang tua,” kata beliau, dengan mata berkaca, penuh dengan air mata.
Dengan semangat tidak kenal erti putus asa, beliau, yang mempunyai diploma dalam bidang Pengurusan dan Kepimpinan daripada universiti swasta, cuba mencari pekerjaan tetap.
Mujurlah, beliau telah menemui pegawai ComLink, Cik Jerlene Chong, yang secara proaktif menghubungi keluarganya dan menjadi mentor keluarganya (FC) pada 2021.
Cik Chong telah merujuk Cik Norish dan Encik Ilhan kepada Institut Pekerjaan dan Daya Kerja NTUC (e2i), dan mereka berhasil mendapatkan pekerjaan dengan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pada 2022.
“Saya juga bersyukur kepada sukarelawan ComLink yang membimbing anak saya dalam pelajaran setiap minggu, sehingga dia mencapai keputusan cemerlang,” kata Cik Norish sambil tersenyum lebar.
Cik Chong juga telah merujuk anaknya kepada program latihan bola sepak di bawah SportCares, memberi tambahan warna dan keceriaan dalam hidup anaknya.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengumumkan pada Isnin bahawa program baru, ComLink+ akan mempertingkat sokongan bagi sekitar 14,000 keluarga dengan anak bawah umur 21 tahun yang tinggal di flat sewa.
Ia bertujuan membantu keluarga seperti Cik Norish menikmati kestabilan hidup dengan menyokong ibu bapa terus bekerja, membeli rumah sendiri, menghantar anak mereka ke prasekolah serta membantu melunaskan hutang mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg