Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasangan lahir keprihatinan imbangi aspirasi bina keluarga, kemajuan ekonomi dalam ‘Jom Bherbual’
Pasangan lahir keprihatinan imbangi aspirasi bina keluarga, kemajuan ekonomi dalam ‘Jom Bherbual’
Pasangan lahir keprihatinan imbangi aspirasi bina keluarga, kemajuan ekonomi dalam ‘Jom Bherbual’
Kos sara hidup, tekanan kewangan dan tuntutan kerjaya antara kebimbangan yang dihadapi pasangan yang mempertimbangkan untuk membina keluarga di Singapura.
Isu-isu itu dibincangkan dalam acara ‘Jom BHerbual dan Buat Biskut’ anjuran Berita Harian pada 25 Oktober, yang menghimpunkan sekitar 35 peserta untuk menyertai aktiviti membuat pastri dan sesi podcast secara langsung bersama Menteri Negara (Pembangunan Digital dan Maklumat merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam dan moderator, Timbalan Editor Media Sosial BH, Cik Siti Aisyah Nordin.
Dalam tinjauan langsung yang dijalankan semasa acara itu, 58 peratus peserta berpendapat bahawa generasi muda kini semakin sukar mencapai kehidupan berkeluarga yang diinginkan.
Namun, peserta memberikan markah purata 3.5 daripada 5 bagi tahap keyakinan mereka untuk membina keluarga dengan 43 peratus berkata keputusan mereka dipengaruhi dasar pemerintah.
Menjawab persoalan mengenai usaha mengimbangi kemajuan ekonomi dengan aspirasi membina keluarga, Cik Rahayu berkata pertumbuhan ekonomi tetap penting kerana ia menjadi asas kepada keupayaan negara menyediakan sokongan kepada masyarakat.
“Pertama, adakah kita akan mengurangkan fokus terhadap ekonomi? Jawapannya tidak. Kekuatan ekonomi menjadi asas kepada sesebuah negara dan merupakan sesuatu yang tidak boleh kita abaikan,” katanya.
Namun, beliau mengakui usaha mengejar produktiviti boleh menjadikan kehidupan seperti satu perlumbaan, justeru keseimbangan perlu dicapai agar rakyat tidak terjejas dalam usaha mencapai kemajuan ekonomi.
Beliau berkata pemerintah terus memperkukuh sokongan kepada keluarga sepanjang tempoh anak membesar, termasuk melalui bantuan kewangan, perubahan pada cuti penjagaan anak, penambahan cuti bapa dan keutamaan undian bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO).
Cik Rahayu turut berkata kemas kini berkaitan sokongan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dijangka diumumkan pada awal tahun depan.
Cik Nur Aishah Rozali, 38 tahun, seorang eksekutif bersekutu dalam perkhidmatan pesakit yang sedang berusaha mendapatkan zuriat, berkata kos rawatan boleh menjadi beban apabila pesakit yang dirujuk daripada klinik bersubsidi ke pusat IVF perlu membayar sebagai pesakit swasta.
“Jika ubat-ubatan dapat disubsidi sepenuhnya, ia pasti mendorong pasangan untuk meneruskan rawatan,” katanya.
Selain sokongan kewangan, Cik Rahayu berkata pembahagian tanggungjawab dalam rumah tangga juga perlu diberi perhatian. Dalam tinjauan itu, tiga perempat peserta bersetuju bahawa ibu menanggung beban mental yang lebih besar berbanding bapa.
Cik Siti Nur Hidayah Mahmood, 38 tahun, ibu kepada empat anak, berkata isteri perlu melibatkan suami dalam urusan rumah tangga dan penjagaan anak.
“Sebagai isteri, kita rasa kita boleh melakukan banyak perkara. Tetapi kita juga perlu melibatkan suami dan meminta bantuan. Perkahwinan bukan tanggungjawab sebelah pihak sahaja, ia satu perkongsian,” katanya.
Suaminya, Encik Khairul Anwar Ahmad Mahbob, 38 tahun, berkata komunikasi dan kepekaan terhadap usaha pasangan penting untuk memastikan tanggungjawab dikongsi bersama.
Cik Rahayu turut menggalakkan masyarakat membina hubungan kejiranan sebagai sumber sokongan, sambil menegaskan bahawa usaha membina keluarga yang lebih sejahtera memerlukan peranan pemerintah, majikan, pasangan dan masyarakat.
“Kita perlu berusaha menunjukkan satu suasana di mana menjaga anak itu sesuatu yang seronok,” ujarnya.