Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan pendidik tekankan Mandarin, kemahiran sosial siapkan anak ke Darjah 1

Jan 2, 2026 | 5:30 AM
Cik Shahirah Muhammad Sharif Encik Chia Muhammad Yusuf, primary 1
Encik Chia Muhammad Yusuf dan isteri, Cik Shahirah Muhammad Sharif, bersama anak sulung mereka, Chia Muhammad Hamzah Jian Wei. Pasangan pendidik ini menekankan penguasaan bahasa Mandarin dan kemahiran sosial bagi mempersiapkan Hamzah melangkah ke Darjah 1 pada 2026. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setiap Selasa malam, rutin si cilik Chia Muhammad Hamzah Jian Wei, enam tahun pasti terisi dengan latihan menulis aksara Mandarin berulang kali di meja makan.

Demikian sebahagian daripada disiplin yang diterapkan ibu bapanya sejak hampir setahun lalu bagi mempersiapkan anak sulung mereka itu melangkah ke sekolah rendah.

Ibu bapa Hamzah – yang masing-masing berketurunan Cina dan Melayu – membuat keputusan untuk mendaftarkan anak mereka untuk mengambil bahasa Mandarin sebagai bahasa ibunda.

Alasannya praktikal, mereka berpendapat bahasa Melayu lebih mudah dipraktikkan dan dipelajari di rumah berbanding bahasa Mandarin.

“Kami rasa bahasa Melayu lebih mudah dipraktikkan di rumah berbanding bahasa Mandarin, jadi kami ambil keputusan untuk mendaftarkan Hamzah untuk mengambil Mandarin sebagai bahasa ibunda di sekolah,” kata Cik Shahirah Muhammad Sharif, 33 tahun.

Selain persiapan dalam subjek bahasa Mandarin, Inggeris dan Matematik, Hamzah turut dilatih menguasai kemahiran hidup penting.

Ini termasuk cara membeli makanan di kantin sekolah dan menggunakan tandas secara berdikari.

Cik Shahirah mengajar Bahasa Inggeris di sekolah menengah sementara suaminya, Encik Chia Muhammad Yusuf, 38 tahun, merupakan guru Matematik dan Sains di sebuah pusat tuisyen.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), pasangan itu menjelaskan bahawa tumpuan mereka terbahagi kepada dua aspek utama: persediaan akademik dan kemahiran sosial.

Ini bagi membantu Hamzah menghadapi peralihan besar daripada persekitaran tadika yang kecil dan terlindung kepada suasana sekolah rendah yang jauh lebih luas pada 2026.

Sebagai pendidik, mereka akur keprihatinan utama bukan semata-mata soal pelajaran dan akademik.

Sebaliknya, Encik Chia dan Cik Shahirah berkata mereka prihatin tentang pengaruh rakan sebaya, memandangkan persekitaran sekolah menggabungkan murid daripada pelbagai peringkat umur.

Justeru, mereka secara aktif membimbing Hamzah tentang cara mempertahankan diri serta berfikir secara kritikal mengenai penggunaan bahasa dan tingkah laku, khususnya dalam era media sosial masa kini.

Walaupun mereka mengehadkan masa skrin dan turut menemani Hamzah ketika menonton kandungan dalam talian, pasangan itu sedar bahawa persekitaran sekolah rendah akan mendedahkan anak mereka kepada rakan-rakan yang turut terdedah kepada kandungan digital.

“Kami memberi tumpuan untuk melengkapkannya dengan cara berfikir yang betul supaya dia dapat menangani situasi sosial dengan lebih baik, seperti berhenti seketika untuk memahami dan menilai tingkah laku yang dilihat,” jelas Encik Chia.

Di sebalik kebimbangan tersebut, Encik Chia dan Cik Shahirah kekal optimistik.

Mereka percaya kemasukan ke Darjah 1 akan membantu perkembangan emosi anak mereka yang sememangnya gemar belajar.

Mereka juga teruja melihat Hamzah meneroka minat baru melalui kegiatan kokurikulum kelak.

Hamzah – anak sulung dua beradik dengan adik yang berusia tiga tahun – akan menyertai kohort murid Darjah 1 bagi 2026 yang memulakan sesi persekolahan pada 2 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg