Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasangan tinggalkan restoran tanpa buat bayaran, harapkan antara mereka untuk lunaskan bil $270
Pasangan tinggalkan restoran tanpa buat bayaran, harapkan antara mereka untuk lunaskan bil $270

Pasangan tinggalkan restoran tanpa buat bayaran, harapkan antara mereka untuk lunaskan bil $270
SELEPAS memesan makanan bernilai hampir $270, termasuk sepinggan daging wagyu yang mahal, seorang lelaki dan wanita yang telah ke sebuah restoran barbeku Korea untuk makan malam, meninggalkan tempat tersebut tanpa membuat sebarang pembayaran.
Lebih seminggu kemudian, restoran itu, Pa Bul Lo Korean BBQ di Serangoon Gardens, masih belum menerima separuh daripada pembayaran tersebut daripada lelaki berkenaan yang menegaskan wanita yang bersamanya telah menawarkan untuk membayar sepenuhnya bil yang diperolehi.
Wanita tersebut telah melunaskan separuh daripada bil itu pada 19 Mac selepas pemilik restoran, Cik Karen Ho, 50 tahun, menghubunginya dan memberitahu bahawa beliau telah membuat laporan polis dan akan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Kecil (SCT).
Wanita itu juga telah memberitahu Cik Ho bahawa lelaki yang hanya dikenali sebagai Encik Jung, sebaliknya telah menawarkan untuk membayar bil mereka itu.
Cik Ho dan suaminya, yang menyelia cawangan lain, juga telah menghubungi Encik Jung.
"Kami cuba bercakap dengannya dengan baik dan meminta bayaran, tetapi beliau mentertawakan kami.
"Suami saya memberitahu beliau bahawa kami akan buat laporan polis dan beliau hanya ketawa," kata Cik Ho.
Cik Ho berkata Tribunal Tuntutan Kecil tidak dapat meneruskan kes itu kerana beliau tidak mempunyai nama penuh, alamat dan nombor kad pengenalan pelanggannya itu.
Anak Cik Ho yang berusia 25 tahun memberitahunya untuk menghubungi firma guaman I.R.B Law bagi mendapatkan perkhidmatan pro bono.
Pada 23 Mac, seorang peguam menghubungi Cik Ho dan berkata beliau akan menghantar waran kepada Encik Jung, namun tiada khabar daripada peguam tersebut sejak itu.
Mengenang nasibnya, Cik Ho berkata sepanjang 25 tahun beliau dalam sektor makanan dan minuman (F&B), ini merupakan pertemuan pertama beliau dengan pelanggan yang meninggalkan restorannya tanpa membuat bayaran.
"Anak saya telah menasihati saya untuk memberitahu pelanggan untuk memesan, (dan) kemudian membuat pembayaran di kaunter.
"Tetapi kami bukan restoran makanan segera... Kami (telah) memberitahu kakitangan kami supaya lebih berhati-hati," tambahnya.