Pasar raya NTUC Finest di Bedok Mall akan dibuka semula esok
Pasar raya NTUC Finest di Bedok Mall akan dibuka semula esok
CAWANGAN pasar raya NTUC FairPrice di Bedok Mall, yang ditutup setelah seorang kakitangan diuji positif Covid-19, akan dibuka semula esok, selepas ia menjalani kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman.
Sebagai langkah pencegahan, semua bahan makanan yang tidak berbungkus dalam pasar raya itu akan dibuang bagi mengelak rancuan silang kuman disebabkan langkah-langkah pembersihan dan pembasmian virus yang dijalankan, kata rangkaian pasar raya itu dalam nota di Facebook semalam.
Nota itu dimuatnaik sebagai memberi jawapan kepada pertanyaan orang ramai yang diterima FairPrice berkenaan keselamatan dan kebersihan di pasar raya terbabit.
Pasar raya itu juga menolak khabar angin yang menyatakan kakitangan yang terjejas telah bekerja di bahagian sushi pasar raya berkenaan.
"Kami ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak disahkan, yang boleh menyebabkan orang ramai cemas," menurut nota itu.
Kesemua kakitangan dari pasar raya berkenaan telah diberikan pelepasan cuti, dan tenaga kerja telah didapatkan dari cawangan lain apabila pasar raya itu dibuka semula.
Pasar Raya FairPrice Finest telah ditutup selama tiga hari bagi kerja-kerja pembersihan tuntas kelmarin selepas seorang kakitangannya diuji positif Covid-19. Petugas itu bekerja di bahagian belakang di mana tugasnya adalah untuk menyediakan bekalan apabila habis, dan punya hubungan minimal dengan pelanggan.

