Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pastikan urusan 'pemindahan' pusara lancar

Dec 14, 2021 | 5:30 AM
BANTU WARIS: Cik Umi Arbanah Ayob bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan di Pejabat Penggalian Pusara Islam kendalian Wareesan Management. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
BANTU WARIS: Cik Umi Arbanah Ayob bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan di Pejabat Penggalian Pusara Islam kendalian Wareesan Management. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

ADA orang mungkin menganggap kerja di tanah perkuburan sebagai satu perkara yang menyeramkan.

Namun, bagi Cik Umi Arbanah Ayob, 27 tahun, antara cabaran terbesar yang dihadapi dalam tugasnya bukan berkenaan si mati tetapi yang masih hidup.

Sebagai seorang pegawai khidmat pelanggan di Pejabat Penggalian Pusara Islam, Cik Umi membantu waris menuntut kubur yang terjejas dengan penggalian dan pengebumian.

Adakalanya, beliau perlu menjadi perantara apabila timbul pertikaian antara waris si mati.

"Cabarannya apabila pihak keluarga tidak mempunyai persefahaman. Contohnya, adik menuntut kubur. Abang juga ingin menuntut kubur yang sama. Jadi mereka tidak berpuas hati sesama mereka.

"Bagi pihak kami, kami perlu mengendali isu tiada persefahaman seperti ini," kata Cik Umi.

Terletak di sebelah Masjid Pusara Aman, Pejabat Penggalian Pusara Islam dikendalikan oleh Wareesan Management, anak syarikat Warees Investment, yang telah dilantik oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk menguruskan penggalian dan pengebumian semula sisa kubur orang Islam di Singapura.

Sebagai kakitangan Wareesan, Cik Umi mengendalikan pendaftaran bagi kubur yang terjejas.

Dalam fasa terbaru penggalian dan pengebumian semula kubur Islam, waris kini boleh mendaftar dan mengesahkan kubur yang terjejas secara dalam talian di laman www.pusara.sg.

Mereka tidak lagi perlu ke tanah perkuburan kerana mereka boleh mengesahkan gambar kubur di bawah sistem dalam talian itu.

Namun, pengesahan dalam talian hanya bagi kubur utama yang terjejas dalam Fasa 8.

Waris yang memilih menuntut kubur tambahan untuk digali dan dikebumi semula bersama sisa kubur utama yang terjejas tetap perlu mengesahkan kubur tersebut secara peribadi di tanah perkuburan.

Lebih 17,000 kubur orang Islam yang disemadi antara 1990 dan 2003 akan terjejas dalam Fasa 8, melibatkan kubur di blok 10 hingga 16, serta 18, 21 dan 22.

Sejak pendaftaran bagi Fasa 8 bermula September lalu, sekitar 4,730 kubur telah dituntut oleh waris.

Sedang usaha tersebut diteruskan, kakitangan Wareesan seperti Cik Umi yang menyertai syarikat itu pada 2017, semakin lali dengan tugas di kubur.

"Dulu ada juga perasaan takut, tetapi lama-kelamaan dah selesa. Kerja ini pun satu khidmat kepada masyarakat," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg