Pasukan yang ditugaskan untuk memberi tindak balas terhadap kes keganasan rumah tangga berisiko tinggi telah memberi respons kepada 1,439 insiden sedemikian pada 2025.

Dikenali sebagai Pasukan Tindak Balas Kecemasan Keganasan Rumah Tangga (DVERT) di bawah Kementerian Pembangunan Keluarga dan Sosial (MSF), bilangan kejadian yang dikendalikan pasukan itu pada 2025 adalah jauh lebih tinggi berbanding 675 insiden yang dilaporkan pada 2024.

Demikian hasil Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga (DVTR) 2026 oleh MSF yang diterbitkan pada 29 Oktober.

Ini kali pertama jumlah insiden yang dikendali DVERT diketengahkan dalam laporan tahunan itu – ia mencatatkan bilangan kes penderaan yang berlaku dalam kalangan anggota keluarga.

Laporan itu mendapati bilangan kes keganasan rumah tangga kekal tinggi pada 2025 dengan 4,686 kes, berbanding 4,527 pada 2024 dan 3,918 pada 2023.

Penderaan fizikal kekal sebagai jenis penderaan utama dalam keganasan rumah tangga.

Menurut laporan itu, peningkatan pada jumlah insiden yang dikendali DVERT didorong oleh peluasan operasi pasukan kepada semua divisyen darat Pasukan Polis Singapura (SPF) sejak September 2024.

DVERT, yang beroperasi sepanjang hari dan tujuh hari seminggu, mula dikerahkan pada April 2023 ke Divisyen Ang Mo Kio untuk membantu polis menangani kes keganasan rumah tangga berisiko tinggi yang berlaku di kawasan seperti Ang Mo Kio, Serangoon, dan Sengkang.

MSF dalam satu kenyataan pada 29 Oktober berkata: “Peluasan (pasukan ini) membolehkan lebih banyak insiden rumah tangga berisiko tinggi mendapat tindak balas serta-merta daripada pihak polis dan karyawan perkhidmatan sosial secara bersama.

“Ini sekali gus memperkukuh campur tangan semasa krisis dan sokongan bagi keluarga yang terjejas.”

Laporan itu mendapati sebahagian besar daripada kejadian tersebut disyaki melibatkan kes penderaan terhadap pasangan dan kanak-kanak.

Pasukan itu juga telah mengeluarkan 1,151 Perintah Kecemasan (EOR) pada 2025, susulan pindaan berkaitan keganasan keluarga dalam Piagam Wanita (Women’s Charter) pada Januari 2025, tambah laporan tersebut.

Daripada jumlah tersebut, sekitar 80 peratus EOR dikeluarkan terhadap pelaku lelaki, dengan sebahagian besar pelaku lelaki ini berusia antara 30 dengan 49 tahun.

Sebahagian besar atau 59 peratus (674) daripada EOR yang dikeluarkan kepada pelaku merupakan pasangan kepada mangsa, manakala selebihnya terkait dengan ibu/bapa, anak, adik-beradik, saudara atau bekas pasangan kepada mangsa.

Di bawah Piagam Wanita, pegawai DVERT mempunyai kuasa untuk mengeluarkan EOR – iaitu perlindungan undang-undang bersifat sementara yang berkuatkuasa serta-merta.

Ia bertujuan melindungi mangsa keganasan rumah tangga di lokasi kejadian penderaan supaya pelaku yang disyaki menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap mangsa dengan segera.

Menukil laman rasmi pemerintah askgov, jika pelaku melanggar perintah ini, ia merupakan satu kesalahan jenayah dan pihak polis boleh memberkasnya.

EOR itu kekal berkuat kuasa selama 14 hari dan memberikan mangsa tempoh masa untuk memohon Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) bersifat jangka panjang di mahkamah.

Sekilas hasil Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga

– Lebih ramai lelaki dalam lingkungan usia 40-49, atau sebanyak 109 kes, jadi mangsa penderaan pasangan pada 2025 berbanding 81 kes pada 2024.

– Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH) terima 16,525 panggilan pada 2025 berbanding 11,068 pada 2024 – peningkatan hampir 50 peratus dan jumlah tertinggi sejak NAVH mula beroperasi pada 2021.

– Hampir 11,000 individu terlibat sama dalam kegiatan seperti forum anjuran MSF bagi tingkatkan kesedaran tentang keganasan rumah tangga pada 2025.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti