Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan Pergas antara pemenang pertandingan Piala Pekebun S’pura

Piala iktiraf dedikasi dan semangat pekebun masyarakat yang galak kemampanan, kesedaran awam tentang kehijauan
Aug 12, 2024 | 5:30 AM
Ustazah Nur Khadijah Ramli (kanan) bersama para pekebun masyarakat di Ruang Hijau Pergas.
Ustazah Nur Khadijah Ramli (kanan) bersama para pekebun masyarakat di Ruang Hijau Pergas. - Foto PERGAS

Sekumpulan asatizah, pelajar dan relawan daripada Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) merupakan antara peserta yang muncul juara Piala Pekebun Singapura atau Singapore Gardeners’ Cup pada 3 Ogos.

Sekitar 20 daripada mereka membentuk hampir separuh daripada pasukan Daerah South East, yang merangkumi sekitar 40 pekebun masyarakat di bawah pasukan Daerah South East.

Menyatakan demikian, anggota lembaga Pergas, Ustazah Nur Khadijah Ramli, 45 tahun berkata:

“Seawal Februari, kami telah sama-sama melakarkan konsep paparan kebun kami yang bertema Funtastical Forest bersama Lembaga Taman Negara (NParks) dan juga kumpulan-kumpulan lain di dalam pasukan tersebut, seperti ITE dan juga RC.

“Setelah kami setuju dengan konsep tersebut, kami sama-sama mula membina paparan kebun kami menggunakan bahan kitar semula. Setiap kumpulan ada peranan masing-masing.”

Piala Pekebun Singapura dianjurkan oleh NParks sebagai sebahagian daripada Pesta Taman Singapura (SGF) yang berlangsung dari 3 hingga 11 Ogos di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.

Ustazah Nur Khadijah Ramli (kanan) bersama para pekebun Pergas di paparan kebun ‘Funtastical Forest’ yang dibina oleh pasukan Daerah South East.
Ustazah Nur Khadijah Ramli (kanan) bersama para pekebun Pergas di paparan kebun ‘Funtastical Forest’ yang dibina oleh pasukan Daerah South East. - Foto NPARKS
Paparan kebun ‘Funtastical Forest’ yang dibina oleh pasukan Daerah South East yang dipamerkan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura dari 3 hingga 11 Ogos.
Paparan kebun ‘Funtastical Forest’ yang dibina oleh pasukan Daerah South East yang dipamerkan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura dari 3 hingga 11 Ogos. - Foto NPARKS

Lebih 200 peserta dari 40 kebun masyarakat dari kelima-lima daerah Singapura – Central, South East, South West, North East dan North West – telah bertanding bagi piala tersebut yang dianjurkan bagi meraikan budaya berkebun Singapura.

Pertandingan tersebut adalah edisi ketujuh sejak ia mula dianjurkan pada 2010.

Bagi pasukan Daerah South East, yang merangkumi penyertaan lapan kumpulan taman masyarakat termasuk Pergas, proses membina pameran kebun mereka telah dijalankan di sebuah studio di bangunan Paradise@Pergas yang terletak di 168 Changi Road.

Selain Pergas, pasukan Daerah South East juga terdiri daripada taman-taman masyarakat daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College East, My First Skool di Blok 419 Bedok North Street 1 dan Kelompok C Kompleks Selarang Park.

Ia juga merangkumi jawatankuasa penduduk (RC) dan rangkaian penduduk (RN) lain seperti Braddell Heights Zone C, Geylang East Grove, Marine Crescent Ville dan Mountbatten.

“Pada mulanya, mereka (Daerah South East) sedang mencari tempat yang sesuai untuk menempatkan dan membina paparan kebun. Justeru, kami (Pergas) terfikir mengapa tidak kami menghoskan pembinaan paparan itu di bangunan kami.

“Kami amat teruja menjadi tuan rumah untuk pembinaan paparan itu. Malah, lebih gembira lagi bagi kami kerana dapat membina hubungan lebih erat dengan pasukan kami (Daerah South East).

“Selama tiga bulan, kami gembira dapat menyediakan makanan dan minuman bagi pasukan kami, lantas memberi peluang bagi semua untuk saling mengenali antara satu sama lain,” kata Ustazah Nur Khadijah.

Ustazah Nur Khadijah Ramli (tiga dari kanan) menerangkan ciri-ciri ‘Funtastical Forest’ kepada Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (dua dari kanan).
Ustazah Nur Khadijah Ramli (tiga dari kanan) menerangkan ciri-ciri ‘Funtastical Forest’ kepada Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (dua dari kanan). - Foto NPARKS

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Ustazah Nur Khadijah berkata beliau gembira dapat terlibat sama, khususnya dalam meningkatkan kesedaran tentang menjaga alam sekitar dan melibatkan diri dengan inisiatif hijau.

Jika beliau tidak sibuk mengajar kelas agama secara sambilan di Masjid Al-Ansar dan Masjid Assyakirin, Ustazah Nur Khadijah, yang juga berperanan sebagai Duta Hijau Pergas, akan meluangkan masanya di Ruang Hijau Pergas yang terletak di bumbung bangunan tersebut.

Ruang tersebut adalah antara usaha Pergas bagi menawarkan aktiviti pendidikan dan rekreasi – bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menanam makanan berkhasiat sendiri dan menjadikan bekalan makanan lebih berdaya tahan.

Sejak ia ditubuhkan pada 2023, ia telah mendekati lebih 100 peserta dan menganjurkan beberapa bengkel dan kursus bersama NParks bagi meningkatkan kesedaran dan melibatkan lebih ramai masyarakat Melayu/Islam tentang peri-pentingnya menjaga alam sekitar.

“Sebagai seorang Muslim yang baik, ia bukan sekadar pergi ke masjid dan menunaikan solat, tetapi ia juga melibatkan perhubungan kita dengan alam sekitar.

“Nabi Muhammad saw telah mengajar kita supaya menjaga tumbuh-tumbuhan, jangan memotong tumbuhan, jangan menzalimi wanita dan kanak-kanak. Unsur-unsur ini juga adalah sebahagian daripada ibadah dan agama kita.

“Jika kita ingin menjadi seorang Muslim yang baik, kita mesti membina hubungan yang baik dengan Allah, dengan alam sekitar, dan juga dengan manusia,” kata Ustazah Nur Khadijah.

Ustazah Nur Khadijah berkata Pergas pandang penting isu menjaga alam sekitar. Sejak 2023, ia telah melibatkan diri dalam Community In Bloom (CIB), sebuah program berkebun di seluruh negara di bawah Nparks yang dilancarkan pada 2005.

Ustazah Nur Khadijah Ramli (kanan) bersama para relawan membuat persiapan bagi bahan-bahan yang akan digunakan untuk paparan kebun mereka.
Ustazah Nur Khadijah Ramli (kanan) bersama para relawan membuat persiapan bagi bahan-bahan yang akan digunakan untuk paparan kebun mereka. - Foto PERGAS

Menjawab pertanyaan BH, Pengarah Kumpulan, Hortikultur dan Masyarakat NParks, Cik Sophianne Araib, berkata program CIB kini mempunyai lebih daripada 2,000 kumpulan pekebun masyarakat yang menguruskan taman masyarakat.

“Ini termasuk lebih 30 masjid dan pertubuhan berkaitan Muslim termasuk rumah kebajikan dan rumah penjagaan yang telah menyediakan taman masyarakat di premis mereka.

“Sebagai sebahagian daripada SGF 2024, Masjid Al-Mawaddah dan Rumah Kebajikan Muhammadiyah menyertai pameran Daerah North East, dan Pergas menyertai pameran Daerah South East untuk Piala Pekebun Singapura,” kata Cik Sophianne.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg