Sebuah pasukan petugas silang agensi baru bagi menyokong perniagaan warisan, kegiatan tradisional dan kehidupan budaya di kawasan bersejarah, seperti Kampong Gelam, Chinatown dan Little India, akan ditubuhkan, umum Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Ia akan diterajui bersama oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling.
Perikatan Kampong Gelam (KGA) juga secara rasmi dibentuk sebagai sebuah syarikat awam berhad yang dijamin (CLG) untuk memudahkan perkongsian yang lebih formal dan meluas dengan perniagaan, organisasi dan agensi lain, tambah Encik Lee.
Berucap di majlis pembukaan rasmi Bazar Ramadan Kampong Gelam pada 21 Februari, Encik Lee berkata Kampong Gelam dan kawasan bersejarah lain, seperti Chinatown dan Little India, merupakan kawasan budaya yang menempatkan banyak perniagaan warisan yang menyediakan pelbagai barangan dan perkhidmatan tradisional dan lama.
Ia memupuk ikatan masyarakat yang kukuh dan mengekalkan semangat perusahaan dalam kawasan bersejarah, kata beliau, namun, perniagaan warisan tersebut kian menghadapi sejumlah cabaran.
“Ada yang menghadapi cabaran dengan kos meningkat, persaingan semakin sengit, dan pilihan pengguna yang berubah.
“Yang lain pula berisiko kehilangan kraf mereka, kerana tukang kraf berasa sukar menarik dan mengekalkan bakat muda,” kata Encik Lee.
Dalam usaha menangani cabaran tersebut, pasukan petugas yang bakal ditubuhkan itu akan memberi tumpuan pada dua bidang utama.
Yang pertama, ia akan mengkaji cara menyediakan sokongan mampan kepada perdagangan warisan dan kegiatan tradisional dalam bidang, seperti pemindahan kemahiran, sokongan tenaga manusia dan transformasi perniagaan, kata Encik Lee.
Kedua, ia juga akan meninjau ruang, prasarana dan inisiatif pewujudan tempat yang mungkin diperlukan untuk mengekalkan kawasan budaya.
Ini mungkin termasuk semakan dasar semasa untuk mempertingkat gabungan penggunaan dan kegiatan dalam kawasan bersejarah, dan menyokong kegiatan budaya, masyarakat dan perusahaan.
Sebagai permulaan, pasukan itu akan mengkaji beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan di kawasan warisan dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Warisan Negara (NHB) dalam satu kenyataan bersama.
Mereka menambah bahawa dasar dan program lain juga akan dibangunkan, sedang pelbagai kumpulan pihak berkepentingan didekati untuk mewujudkan huraian bersama.
Ini seperti usaha menghubungkan perniagaan warisan dengan penasihat perniagaan untuk meneroka cara meraih manfaat daripada skim dan/atau sumber yang relevan bagi sokongan lebih strategik.
Mereka juga akan mengkaji program perintis mengenai pengekalan dan penempatan semula perniagaan warisan. Contohnya, KGA telah bekerjasama dengan URA dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk merintis program yang membantu mengekalkan dan memindahkan beberapa restoran warisan terpilih dalam kawasan Kampong Gelam, di tengah-tengah sekatan ke atas restoran baru di kawasan itu dek keprihatinan trafik.
Encik Lee berkata pasukan itu akan berhubung dengan rakan dan pihak berkepentingan, seperti persatuan tempatan, pemimpin masyarakat dan pemilik perniagaan, dalam beberapa bulan mendatang.
Sementara itu, perasmian KGA sebagai CLG akan membolehkan perikatan itu diiktiraf secara lebih meluas sebagai wakil masyarakat Kampong Gelam, dan mempertingkat kapasitinya untuk menguruskan sumber masyarakat dengan lebih berkesan, kata Encik Lee.
Beliau menambah bahawa dengan sokongan pihak berkepentingan utama, KGA telah bekerja keras untuk menyelaraskan pelbagai projek di bawah Pelan Daerah – dilancarkan pada 2023 untuk meningkatkan warisan, tawaran dan pengalaman Kampong Gelam.
“Pemerintah akan menyokong usaha KGA untuk membina keupayaan organisasi dan keanggotaannya.
“Ini akan meletakkan asas untuk mengubah Kampong Gelam menjadi hab masyarakat yang lebih dinamik, yang mengimbangi pemeliharaan warisan dan pembangunan perusahaan,” kata Encik Lee.
Majlis itu diserikan dengan persembahan tarian Melayu dan silat, serta pertunjukan cahaya Masjid Sultan dengan latar belakang kawasan bersejarah Kampong Gelam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg