Bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga dengan lebih baik, pegawai pasukan pengendalian kecemasan 24 jam akan diberi kuasa keluarkan perintah kecemasan di lokasi kejadian kes rumah tangga berisiko tinggi, untuk hentikan pelaku daripada meneruskan keganasan secara serta-merta.
Perintah kecemasan mungkin melibatkan larangan ke atas pelaku berada di rumah atau tempat yang biasa dikunjungi mangsa, serta melarang pelaku daripada kunjungi atau menghubungi mangsa.
Pindaan kepada Piagam Wanita itu akan berkuat kuasa mulai Januari 2025 dan akan melibatkan pemantauan elektronik terhadap pelaku keganasan rumah tangga berisiko tinggi - dalam kes tertentu di mana Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) mangsa dilanggar.
Pada 18 November, semasa acara penghargaan untuk rakan-rakan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Keganasan Rumah Tangga (Dvert), Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, mengumumkan tarikh pindaan tersebut akan dikuatkuasakan.
Dvert merupakan salah satu daripada 16 usul yang dikemukakan Pasukan Petugas Keganasan Keluarga pada 2021. Dvert telah tangani sebanyak 307 kes yang dirujuk oleh polis.
Kebanyakan kes berkaitan keganasan terhadap pasangan, dengan penderaan fizikal merupakan jenis penderaan paling biasa berlaku, kata Cik Sun.
Dvert kini diperluas dan meliputi kesemua tujuh divisyen polis di Singapura, lapor The Straits Times.
Sebelum penubuhan Dvert, pengendalian kecemasan selepas waktu pejabat tidak disediakan untuk semua kes keganasan rumah tangga - kecuali yang melibatkan penderaan kanak-kanak atau dewasa berisiko tinggi, kata Cik Sun.
“Terdapat kes keganasan rumah tangga berisiko tinggi yang memerlukan tindakan segera, namun tidak mendapat bantuan serta-merta daripada profesional perkhidmatan sosial.
“Ini menunjukkan keperluan yang jelas bagi pengendalian kecemasan sosial secara 24/7, untuk kes yang bukan sahaja melibatkan kanak-kanak dan golongan dewasa berisiko, malah bagi kes keganasan rumah tangga yang lain,” katanya.
Di bawah pindaan kepada Piagam Wanita yang akan berkuat kuasa pada Januari 2025, umur minimum untuk memohon PPO akan diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Buat masa ini, individu berumur antara 18 dengan 20 tahun yang belum berkahwin perlu bergantung pada orang lain, seperti penjaga mereka, untuk memohon PPO bagi pihak mereka.
Definisi keganasan dalam keluarga juga akan dikemas kini untuk merangkumi penderaan fizikal, seksual, emosi dan psikologi - secara jelas.
Pelaksanaan Dvert juga mempercepatkan masa yang diambil untuk mangsa dirujuk kepada agensi dan pasukan yang menguruskan kes serta menyediakan perkhidmatan sokongan.
Pengurus Kanan Dvert, Encik Kumaran Govindaraju, berkata sebelum ini, pihak polis hanya akan memaklumkan agensi perkhidmatan sosial mengenai sesebuah kes, pada keesokan harinya atau lusa.
Namun, banyak kes keganasan rumah tangga berlaku pada waktu malam, ketika agensi-agensi tersebut tidak beroperasi.
Dengan adanya Dvert, keluarga dapat menerima sokongan segera bagi memastikan keselamatan mereka, katanya.
“Dengan memberikan kuasa kepada pegawai Dvert mengeluarkan perintah kecemasan bermula Januari, kami dapat melindungi mangsa daripada kecederaan lebih lanjut dengan serta-merta,” tambah Encik Govindaraju.
Dvert juga memainkan peranan penting memastikan mangsa dapat dibantu oleh pekerja sosial ketika mereka paling terdedah kepada bahaya dan berada dalam situasi paling mendesak, kata Timbalan Pengarah Care Corner Singapore, Encik Martin Chok.
“Jika terdapat kelewatan atau penangguhan dalam mendapatkan penilaian sosial untuk mereka, mereka mungkin menjadi terbiasa dengan keganasan tersebut, lantas mengatakan mereka tidak lagi memerlukan bantuan,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg