Pertukaran perisikan pantas antara negara anggota Asean bagi memastikan perkhidmatan penting berjalan semasa serangan siber sejagat boleh dijangka dengan pelancaran sebuah pasukan tindak balas ancaman siber serantau di Singapura.
Mulai beroperasi pada 16 Oktober, Pasukan Respons Kecemasan Komputer Serantau Asean itu akan berusaha meningkatkan tindak balas keselamatan siber di seluruh negara Asean, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Pasukan tindak balas serantau yang merupakan hasil perbincangan sejak 2020, akan ditempatkan di Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber Asean-Singapura di City Hall.
Ia akan diketuai oleh Malaysia sebagai penyelaras keseluruhan yang pertama. Tanggungjawab itu akan bergilir-gilir setiap dua tahun dalam kalangan 10 negara anggota.
Singapura memperuntukkan $10 juta sepanjang 10 tahun akan datang bagi menyokong operasi pasukan serantau itu.
Pasukan itu akan juga menyokong kerjasama antara industri dan ahli akademik, serta menjalankan latihan siber, lapor The Straits Times.
Memetik bilangan perkhidmatan digital yang semakin meningkat yang boleh disasarkan penyerang, Cik Teo berkata:
“Walaupun teknologi ini sangat senang dan mudah digunakan, ia juga telah meluaskan kawasan serangan di negara masing-masing.”
Ekonomi digital di Asean dijangka mencecah AS$1 trilion ($1.31 trilion) menjelang 2030. Rantau ini juga mempunyai gabungan populasi 700 juta orang, yang kebanyakannya celik teknologi dan pantas menerima teknologi terkini.
“Namun, jika kita bersatu, kita akan dapat mengukuhkan pertahanan siber kita dan melindungi masa depan digital kita,” ujar Cik Teo.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Menteri Asean mengenai Keselamatan Siber kesembilan, sebuah perhimpunan pegawai di rantau ini yang menyelia teknologi, yang diadakan semasa Minggu Siber Antarabangsa Singapura di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.
Setiausaha Agung Asean, Dr Kao Kim Hourn, menyeru lebih banyak kerjasama untuk mengatasi jangkaan peningkatan ancaman siber.
Beliau menyenaraikan serangan di rantau ini, termasuk serangan perisian tebusan pada Julai yang melumpuhkan perkhidmatan pemerintah Indonesia dengan menyusup masuk ke perkhidmatan Pusat Data Nasionalnya.
Banyak negara Asean juga sedang bergelut dengan penipuan, termasuk Singapura, katanya.
Singapura menghadapi keadaan penipuan yang semakin teruk. Ini dapat dilihat pada separuh pertama 2024, apabila mangsa penipuan kehilangan lebih $385.6 juta.
Dr Kao berkata: “(Acara ini) menekankan keperluan untuk tindakan yang diselaraskan untuk mengurangkan risiko dan melindungi ekonomi dan masyarakat kita daripada jenayah siber.”
Malaysia akan berkhidmat sebagai penyelaras keseluruhan pertama pasukan respons, diketuai oleh Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin, ketua eksekutif Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan Malaysia.
Sepuluh negara Asean yang mengambil bahagian juga komited untuk menggunakan prinsip tidak terikat di bawah Senarai Semak Pelaksanaan Norma Asean, yang bertujuan menyeragamkan cara agensi pemerintah boleh menggunakan wadah teknologi maklumat dan komunikasi dan cara terbaik untuk mereka bekerjasama dengan negara lain, kata Cik Teo.
“Ini adalah senarai semak pertama seumpamanya.
“Kami berbesar hati untuk berkongsi pengalaman kami dengan negara lain dalam pelaksanaan norma ini bagi menyokong usaha sejagat ke arah ruang siber yang lebih terbuka, selamat, stabil, mudah diakses, dan aman,” kata Cik Teo.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg