DUA pasukan vaksinasi dari rumah telah mula menyediakan suntikan Covid-19 buat mereka yang terlantar atau tidak dapat bergerak di rumah, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (21 Mei).
Sehingga Rabu, seramai 10 orang telah menjalani vaksinasi di rumah dalam projek perintis MOH dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Vaksin dibawa dalam kotak ais dengan sistem pemantauan suhu yang diperlukan bagi memastikan suhu optimal setiap masa, jelas MOH menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times.
Setiap pasukan terdiri daripada seorang doktor dan jururawat dengan bekalan perubatan dan peralatan secukupnya.
Pengasuh individu yang terlantar atau tidak dapat bergerak ini, jika layak secara perubatan, mungkin boleh menjalani vaksinasi pada masa yang sama bagi memudahkan mereka dan memanfaatkan sepenuhnya kunjungan pasukan vaksinasi ke rumah itu, tambah MOH.
Awal minggu ini, MOH mengumumkan mereka yang layak dan menerima khidmat perubatan, rawatan dan jagaan peribadi di rumah akan dihubungi penyedia khidmat jagaan rumah mereka bagi menentukan keinginan mereka mendapatkan suntikan vaksinasi menerusi khidmat ini.
Jika mereka tidak dihubungi, mereka boleh mendaftarkan minat mereka secara langsung dengan penyedia khidmat jagaan rumah mereka yang ada kini.
Golongan yang terlantar atau payah bergerak dan tidak menerima sebarang khidmat jagaan rumah boleh memohon bagi khidmat ini dengan menghubungi talian 'hotline' MOH di 1800-333-9999.
Mengikut notis tender MOH yang diterbitkan pada Rabu, pihak kementerian mencari pasukan yang berdiri sendiri dan bergerak untuk dikerahkan bagi memberi suntikan vaksinasi buat mereka yang tidak mampu berkunjung ke tapak vaksinasi yang disediakan.
MOH memberitahu akhbar The Straits Times ia bercadang bekerja dengan penyedia khidmat perubatan swasta bagi memperluas usahanya mendekati orang ramai yang terlantar di rumah atau tidak mampu bergerak.
Lebih 3.4 juta dos vaksin Covid-19 telah ditadbir di Singapura sejauh ini. Lebih dua juta orang pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan sehingga Jumaat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg