Patung Merlion utama yang terletak di Taman Merlion dekat One Fullerton akan menjalani kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan dari 29 Julai hingga 2 Ogos 2024, menurut satu kenyataan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 5 Julai.
Sepanjang tempoh kerja-kerja dijalankan, patung Merlion utama akan ditutup dengan perancah dan gambarnya tidak dapat diambil.
Orang ramai dijemput untuk mengambil gambar bersama patung anak Merlion yang terletak berhampiran.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat kerja-kerja dan halangan yang wujud dalam tempoh ini,” kata STB dalam kenyataan itu.
Papan tanda penyelenggaraan akan dipasang di kawasan itu semasa tempoh tersebut.
Ejen pelancongan dan pemandu pelancong akan dimaklumkan tentang penutupan itu di Sistem Pelesenan Ejen Pelancongan dan Pemandu Pelancong STB.
Patung ikonik separuh singa dan separuh ikan, yang juga memancutkan air, sebelum ini menjalani kerja-kerja pembaikan pada 2023.
Dengan ketinggian 8.6 meter dan seberat 70,000 kilogram, patung Merlion itu pada asalnya terletak di muara Sungai Singapura apabila ia dilancarkan pada 1972 oleh Perdana Menteri Lee Kuan Yew ketika itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg