Topik diikuti
Pergi ke BHkuPawagam tertua S'pura bakal tutup tirai 26 Jun
Pawagam tertua S'pura bakal tutup tirai 26 Jun
Pawagam tertua S'pura bakal tutup tirai 26 Jun
PAWAGAM The Cathay, salah sebuah pawagam tertua di Singapura, akan menghentikan operasinya dari 26 Jun ini.
Dalam kenyataan syarikat media mm2 Asia, yang mengendalikan cawangan Cathay Cineplexes di sini, penutupan pawagam ikonik di Handy Road yang terletak berdekatan stesen MRT Dhoby Ghaut, adalah sebahagian daripada "proses rasionalisasi kos bagi operasi pawagamnya".
Ketua eksekutif kumpulan mm2 Asia, Encik Chang Long Jong, berkata:
"Penutupan pawagam adalah satu keputusan perniagaan. Selama bertahun-tahun, demografi perniagaan runcit telah berubah.
"Kami terpaksa menilai daya maju komersial mengendalikan dua pawagam di kawasan beli-belah Orchard dalam jarak 1.5 kilometer antara satu sama lain dan dalam jarak 300 meter dari multipleks yang lain."
Syarikat tersebut juga mengendalikan cawangan Cathay Cineplex Cineleisure yang mempunyai sembilan panggung wayang di bangunan Cathay Cineleisure terletak di Grange Road.
Beliau menambah cawangan lain akan berjalan seperti biasa.
Pawagam yang terletak di Handy Road telah beroperasi sejak 1939 dan ramai rakyat Singapura mempunyai kenangan indah menonton filem di sana.
Ia merupakan pawagam berhawa dingin pertama di Singapura dan ditempatkan di sebuah bangunan mercu tanda yang kini merupakan monumen negara.
Premis pawagam di Handy Road dimiliki oleh Cathay Organisation dan akhbar The Straits Times telah menghubunginya untuk mendapatkan komen.
Difahamkan, kedai dan restoran yang berada dalam bangunan itu tidak terjejas dengan penutupan pawagam dan akan beroperasi seperti biasa.
Penutupan pawagam tujuh panggung berlaku di tengah-tengah masa yang sukar untuk perniagaan pameran.
Epidemik Covid-19 menyebabkan kelewatan dalam pengeluaran filem blockbuster manakala peraturan jarak sosial mengurangkan kapasiti tempat duduk di dalam panggung kepada sekitar 50 peratus
