Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Pegawai bank cegah wanita 61 tahun dari termakan helah penipuan samaran

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pegawai bank cegah wanita 61 tahun dari termakan helah penipuan samaran

Dec 04, 2023 | 05:28 PM



Apabila Cik Nurul Amaleena Mohd Asri, 30 tahun, mendapati seorang pelanggan wanita berusia 61 tahun cuba mengeluarkan sejumlah $130,000 menerusi cashier’s order, terus terdetik dalam hatinya pelanggan itu mungkin menjadi mangsa penipuan.


Sangkaan penolong pengurus perkhidmatan Maybank Singapore bagi cawangan Jurong Point itu terbukti benar, sekali gus berjaya mengelakkan wanita itu daripada menjadi mangsa penipuan penyamaran.

Menurut maklumat yang diperolehi pada 28 November daripada Maybank Singapore, kejadian tersebut berlaku pada 25 Oktober.

Ia menyatakan bahawa pelanggan wanita itu telah menghampiri Cik Amaleena dan meminta beliau mengeluarkan cashier’s order berjumlah $130,000.


Pelanggan tersebut kelihatan resah dan tergesa-gesa apabila ditanya sebab beliau ingin membuat pengeluaran jumlah sebesar itu.

Cik Amaleena, yang sudah bekerja di cawangan itu selama 11 bulan, mencurigai tingkah laku tersebut dan cuba mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau kemudian membawa warga emas itu ke bilik berasingan untuk menenangkannya, dan di situlah cubaan menipu wanita tersebut diketahui.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), beliau berkata: “Ini adalah pertama kali saya berhadapan dengan kejadian sedemikian. Ia berlaku sekitar 2 petang.”


Menurut Cik Amaleena, wanita itu hanya menuruti arahan yang diberikan seseorang yang mendakwa dirinya sebagai ‘inspektor polis’ dan mengatakan wanita tersebut adalah ‘suspek’ dalam satu kes pengubahan wang haram.

Menurut Maybank Singapore, sekiranya wanita itu tidak mengikuti arahan, ‘inspektor polis’ tersebut akan mengenakan dakwaan terhadap anggota keluarganya.

“Pihak bank memberikan maklumat terkini secara mingguan mengenai penipuan dan tip pencegahan antipenipuan.

“Maklumat sedemikian yang dikongsi bersama kami membantu meningkatkan kesedaran kami terhadap kelaziman kes-kes penipuan dan… sentiasa berwaspada untuk pelanggan yang mungkin menjadi mangsa penipuan dengan mengenal pasti tanda-tanda,” ujar Cik Amaleena.

Kakitangan cawangan itu juga mendapati pelanggan tersebut telah membuat pemindahan kepada ‘inspektor’ pada hari sebelumnya daripada akaun bank lain dan telah memohon dua cashier’s order daripada bank lain, yang ditujukan untuk ‘inspektor’ tersebut, kongsi Maybank Singapore.


Ia menjelaskan: “(Oleh kerana kami pasti) ia penipuan penyamaran, kakitangan cawangan merujuk hal ini kepada Pasukan Penipuan Perbankan Digital Maybank, yang menasihatkan pelanggan supaya menukarkan dua cashier’s order lain (berjumlah $208,000) dengan wang tunai yang dibuat daripada dua bank lain ke dalam akaun Maybank pelanggan sebagai perlindungan.”


Ia juga bekerjasama dengan Pusat Antipenipuan (ASC) untuk membekukan akaun ‘inspektor’ dan memaklumkan bank-bank lain yang terbabit “mengambil langkah-langkah diperlukan bagi melindungi akaun pelanggan”, jelasnya.

Tindakan pantas Cik Amaleena dan pasukan Maybank Singapore telah membantu mengelakkan pelanggan mereka daripada ditipu sebanyak $338,000.

“Saya rasa teruja terhadap si mangsa kerana beliau dapat selamatkan simpanan hayat bagi (hari) persaraannya,” jelas Cik Amaleena.

Difahamkan pelanggan terjejas telah membuat laporan polis. Dalam respons kepada BH, polis mengesahkan laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

Dalam laporan Penipuan dan Jenayah Siber Pasukan Polis Singapura (SPF), jumlah penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah meningkat sekitar 13 peratus kepada 369 dari Januari hingga Jun 2023 berbanding 320 bagi tempoh sama pada 2022.

Laporan itu menambah jumlah keseluruhan yang dilaporkan daripada jenis penipuan sedemikian adalah $42.8 juta.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >