KETIKA beliau membesar, Encik Zaki Jamil sering memperhatikan nenek dan datuknya menjaga tanam-tanaman dan bunga-bunga yang menghiasi koridor flat HDB mereka.

Mula untuk menghulur bantuan untuk menjaganya juga, minat bercucuk tanam itu mekar sehingga ke hari ini.

Kini, Encik Zaki, 29 tahun, mengambil langkah untuk menyumbangkan pengetahuan dan kepakaran untuk memulihara dan membiak pelbagai spesies pokok palma di Singapura bersama Lembaga Taman Negara (NParks).

Mengimbas kembali saat-saat itu, Encik Zaki berkata datuk dan neneknya sentiasa mendorongnya dan melibatkannya ketika mereka sedang berkebun.

"Mereka dulu tinggal di flat aras satu, jadi mereka mempunyai ruang yang besar untuk menanam pelbagai tanaman.

"Saya selalu membantu mereka menyiram pokok dan memastikan tanam-tanaman itu semua sihat.

"Apabila mereka melihat saya berminat dalam berkebun, mereka juga telah membelikan buku pertama saya tentang tumbuh-tumbuhan.

"Boleh katakan, dari situ, minat untuk berkebun atau minat tentang tanaman mula berkembang," katanya,

Mengejar minatnya dalam bidang tersebut, Encik Zaki pernah ke Brisbane, Australia, untuk pelajari tentang hortikultur dan reka bentuk landskap di Teknikal dan Pendidikan lanjutan (Tafe) Queensland.

Kini, Encik Zaki merupakan Pegawai Kanan dari bahagian Hortikultur dan Perkebunan Masyarakat, NParks.

Bertugas di Tapak Semaian Pasir Panjang, beliau yang lebih dikenali sebagai pakar pokok palma, membiak dan menanam tumbuhan yang akan di tanam di pelbagai tempat lokal atau untuk usaha pemuliharaan.

Menurutnya, terdapat lebih 400 spesies pokok palma di Kebun Bunga di Singapura.

Ini termasuk pokok palma yang jarang ditemui seperti Tahina spectabilis daripada Madagascar dan Orania sylvicola, atau Ibul, spesies pokok kelapa sawit asli yang terancam.

Ketika dihubungi, Encik Zaki berkata pokok palma sering dapat dilihat di tempat seperti taman dan pantai tempatan di sini bukan hanya cantik di lihat, malah ia memainkan peranan besar dalam ekosistem kita.

"Pokok-pokok yang berkarisma ini memainkan peranan penting untuk pastikan kitaran hayat ekosistem di sini dapat berterusan.

"Contohnya, dengan pokok palma itu, serangga seperti lebah asli di sini merupakan agen utama pendebungaan tanaman tempatan.

"Pada masa yang sama, ia juga menawarkan makanan bagi haiwan liar seperti musang kelapa sawit di sini," jelasnya.

Untuk menyumbang kepada kehijauan di Singapura, anak kedua daripada tiga beradik itu juga banyak melancong untuk mencari tumbuhan dan benih palma supaya untuk di tanam di sini.

Antara tempat yang beliau pernah pergi untuk mencari tanaman dan benih ini termasuk Malaysia, Thailand, Australia dan New Caledonia, Perancis.

"Usaha ini bukan hanya untuk mengembangkan koleksi benih dan pokok palma di sini.

"Namun, ia adalah untuk mendidik orang awam tentang pelbagai pokok palma di sini dan membolehkan mereka menghargainya.

"Pada masa yang sama, ia juga membantu dalam usaha pemuliharaan kelapa sawit yang jarang ditemui untuk masa akan datang," ujarnya.

"Pokok-pokok yang berkarisma ini memainkan peranan penting untuk pastikan kitaran hayat ekosistem di sini dapat berterusan. Contohnya, dengan pokok palma itu, serangga seperti lebah asli di sini yang merupakan agen utama pendebungaan tanaman tempatan. Pada masa yang sama, ia juga menawarkan makanan bagi haiwan liar seperti musang kelapa sawit di sini."

- Pegawai Kanan dari bahagian Hortikultur dan Perkebunan Masyarakat, NParks, Encik Zaki Jamil.