Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai masjid curi wang zakat lebih $13,000 dijel 8 bulan

Aug 14, 2024 | 7:50 PM
Pegawai zakat di Masjid Al-Istiqamah, Muhammad Hafiz Mohd Yusof, 28 tahun, diperintahkan menyerah diri di Mahkamah Negara pada 10 September untuk mula menjalani hukuman.
Pegawai zakat di Masjid Al-Istiqamah, Muhammad Hafiz Mohd Yusof, 28 tahun, diperintahkan menyerah diri di Mahkamah Negara pada 10 September untuk mula menjalani hukuman. - Foto ZAOBAO

Seorang pegawai zakat di Masjid Al-Istiqamah, di Serangoon North Avenue 2, mencuri wang zakat daripada enam mangsa berjumlah lebih $13,000 dan menyimpan wang itu untuk kegunaan peribadinya.

Pada 13 Ogos, Muhammad Hafiz Mohd Yusof, 28 tahun, yang tidak membuat pembayaran balik, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan hampir $10,000. 

Tiga pertuduhan lain yang dikaitkan dengan jumlah baki telah dipertimbangkan semasa hukuman, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Grace Chua, zakat boleh dikutip melalui pelbagai cara termasuk pembayaran tunai di kaunter.

Untuk kutipan tunai, Hafiz harus mengeluarkan resit janaan komputer dan menyimpan wang itu di dalam kotak.

Sekiranya terdapat sebarang kesilapan, dia harus mendapatkan semula resit tersebut daripada pembayar, membatalkannya dan mengemas kini sistem Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Dia kemudian harus mengeluarkan satu lagi resit dengan butiran yang betul. Resit baru itu akan mengandungi nombor baru.

Pada 27 April 2022, salah seorang mangsa telah ke Masjid Al-Istiqamah untuk membuat bayaran zakat sebanyak $5,100 tunai kepada Hafiz yang memutuskan untuk mencuri sebahagian besar daripadanya.

DPP Chua memberitahu mahkamah: “Dia mula-mula mengeluarkan resit pembayaran $5,100 kepada mangsa. Dia tidak menyimpan wang di dalam peti keselamatan seperti yang diperlukan.

“Selepas melihat mangsa keluar dari masjid, tertuduh membatalkan resit $5,100, seperti tertera dalam sistem Muis dan mendaftar bayaran zakat mangsa sebagai $100.”

Satu lagi resit yang mengandungi nombor baru kemudian dijana dengan dia memoket $5,000.

Dengan menggunakan kaedah yang sama, Hafiz memperoleh lebih banyak wang tunai daripada mangsa lain pada 2022 dan 2023.

Beberapa ketika sebelum 8 Ogos 2023, Muis mengesan penyelewengan dalam enam resit yang dibatalkan Hafiz.

Siasatan mendedahkan bahawa pembayaran sebenar yang dibuat adalah lebih tinggi daripada jumlah yang dinyatakan dalam resit baru yang dikeluarkan Hafiz.

Polis telah dimaklumkan pada 8 Ogos 2023, dan dia didakwa di mahkamah pada 2024.

Ikat jamin Hafiz ditetapkan pada $10,000 pada 13 Ogos dan dia diperintah menyerah diri di Mahkamah Negara pada 10 September untuk mula menjalani hukuman.

Bagi setiap pertuduhan pecah amanah jenayah, pesalah boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg