Seekor ular sawa berjaya diselamatkan setelah terperangkap dalam sebatang saluran air di Hougang Avenue 6 pada 13 Januari.
Dalam satu video TikTok yang dimuat naik pengguna eatsleeptravelrepeat92 pada 14 Januari, pegawai-pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) dilihat menggerudi saluran air konkrit itu untuk memudahkan mereka mengeluarkan ular tersebut.
Setelah dikeluarkan, ular sawa itu didapati terkena paku yang terpacak pada kulitnya.
Pegawai-pegawai itu kemudian mengeluarkan paku tersebut secara berhati-hati dan membersihkan serpihan konkrit pada kulitnya. Mereka kemudian memasukkannya ke dalam sangkar.
Dalam satu respons kepada Berita Harian (BH), pemangku pengarah kumpulan bagi pengurusan haiwan liar NParks, Encik How Choon Beng, berkata ular sawa itu kemudian dibawa ke Pusat Pemulihan Haiwan Liar NParks di Lim Chu Kang untuk diperiksa doktor haiwan.
Beliau menambah, ular tersebut didapati mengalami kecederaan ringan yang telah dirawat sebelum “ia dilepaskan kembali di kawasan hutan, jauh dari kediaman manusia”.
“Ular sawa memainkan peranan penting dalam mengawal selia ekosistem dengan mengekalkan populasi haiwan perosak rendah, seperti tikus,” jelasnya.
Encik How turut menggesa orang awam agar tidak panik dan jangan menghampiri ular sawa sekiranya terserempak dengannya.
Lebih-lebih lagi, ular itu harus dibiarkan terutama jika ia berada dalam habitat semula jadinya.
Beliau berkata: “Jangan dekati atau cuba kendalikan ular itu. Mana-mana haiwan peliharaan harus dikawal dengan tali kerana ia mungkin mendekati dan mencemaskan ular itu.”
Menurut laman NParks, ular sawa batik sedemikian, atau dikenali nama saintifik sebagai malayopython reticulatus, berasal dari Singapura dan biasanya boleh dilihat dalam kawasan bandar.
Panjangnya boleh mencapai sehingga 10 meter dan ia jenis ular bukan berbisa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg