Topik diikuti
Pergi ke BHkuPegawai Pejabat Haji MUIS jalani program latihan sebagai persiapan musim haji
Peroleh pengetahuan berguna termasuk perancangan operasi, penjagaan kesihatan jemaah
Pegawai Pejabat Haji MUIS jalani program latihan sebagai persiapan musim haji
Sebilangan pegawai daripada Pejabat Haji Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperoleh pengetahuan berguna dalam aspek seperti perancangan operasi, setelah mereka menjalani program latihan anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini.
Dalam satu hantaran Facebook MUIS pada 11 November, pegawai sedemikian menjalani program latihan itu sempena edisi keenam Pameran dan Sidang Haji di Jeddah, yang berlangsung dari 8 hingga 11 November, sebagai persiapan menjelang musim haji 2027.
Program tersebut menghimpunkan kakitangan haji pelbagai negara bagi memperkukuhkan keupayaan dalam 11 aspek utama seperti pengangkutan, penginapan, pengurusan orang ramai dan penjagaan kesihatan jemaah haji, tambah MUIS.
Badan berkanun itu berkata: “Melalui latihan ini, pegawai kami meraih manfaat terhadap perancangan operasi, pengurusan risiko dan proses membuat keputusan, sambil saling bertukar pengalaman dengan rakan sejawatan di peringkat antarabangsa.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen MUIS untuk terus menambah baik cara kami memberi sokongan kepada jemaah haji Singapura, supaya mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan selamat, lancar dan tenang.”
Menukil laporan oleh Agensi Akhbar Arab Saudi pada 6 November, ini kali pertama program latihan seumpama itu diadakan.
Program latihan itu bertujuan memperkukuh kemahiran kepimpinan dan operasi kakitangan terlibat, mempersiapkan mereka untuk menjalankan tugas dan menambah baik perkhidmatan jemaah.
Ia menghimpunkan lebih daripada 520 organisasi pemerintah, pihak swasta dan badan bukan untung dari Saudi serta luar negara, dengan penyertaan daripada lebih 150 negara, tambah agensi tersebut.
Awal dari itu dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Facebook pada 10 November, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, mengesahkan kuota rasmi 900 tempat bagi jemaah Singapura untuk musim haji 2027.
Ini setelah Encik Zaqy menandatangani perjanjian haji bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, ketika beliau berada di Jeddah untuk menghadiri Pameran dan Sidang Haji.
Beliau berkata sungguhpun jumlah kuota kekal sama seperti 2025 dan 2026, Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan di Saudi untuk mendapatkan tempat tambahan pada masa hadapan.
MUIS berkata ia akan mengedarkan 900 Surat Tawaran Rasmi (LOO) bermula 16 November, dengan individu yang menerima LOO ini perlu membeli pakej haji yang diluluskan oleh MUIS daripada GSA dilantik dan melengkapkan langkah yang diperlukan menerusi portal MyHajSG selewat-lewatnya 30 November.
Pada 5 November, MUIS telah mengumumkan ia telah meluluskan 37 pakej daripada 10 ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dilantik bagi musim haji akan datang.
Harga pakej itu adalah antara $13,864 dengan $21,199, bergantung pada pakej yang dipilih dan aturan penginapan bilik, dengan bakal jemaah boleh memilih pakej bagi 18, 23, 25 atau 28 hari.
Ia lebih rendah berbanding harga antara $14,190 dengan $29,895 bagi pakej 24, 25 atau 29 hari yang ditawarkan untuk musim haji 2026.
Dalam pada itu, Menteri Pelancongan Saudi, Encik Ahmed Al Khateeb, pada 9 November mengumumkan bahawa negara itu bakal menyediakan lebih 1.3 juta katil bagi menampung jemaah haji musim 2027.