SEORANG pegawai Polis Trafik (TP) telah dibawa ke hospital selepas satu kemalangan membabitkan motosikalnya dan sebuah kereta di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) pada pagi Rabu.
Satu video selepas kemalangan itu, yang tular dalam beberapa kumpulan sembang dalam talian, menunjukkan pegawai TP itu sedang duduk di lorong paling kanan lebuh raya itu, bersandar pada sebuah motosikal TP.
Beliau dilihat dalam video itu sedang memegang mukanya dengan satu bahan putih, sedang seorang lagi pegawai TP berdiri di sisinya.
Beberapa serpihan boleh dilihat di jalan berhampiran dua pegawai itu, dengan satu kereta Mitsubishi putih dengan bahagian belakang yang rosak diletakkan di hadapan mereka.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan di BKE menuju ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) selepas susur keluar Mandai Road kira-kira 7.05 pagi.
Seorang pegawai TP berusia 36 tahun dalam keadaan sedar ketika dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong oleh SCDF.
Polis berkata siasatan sedang dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg