Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peguam bantu pembantu rumah didera terima pampasan $10,000

Feb 1, 2022 | 5:30 AM
BANTUAN KEPADA MANGSA: Cik Yuni Dwi Lestari telah menerima pampasan sebanyak $10,000 daripada majikan yang bersalah dengan bantuan Khidmat Pro Bono Persatuan Undang-Undang (LSPBS). - Foto ihsan YUNI DWI LESTARI
BANTUAN KEPADA MANGSA: Cik Yuni Dwi Lestari telah menerima pampasan sebanyak $10,000 daripada majikan yang bersalah dengan bantuan Khidmat Pro Bono Persatuan Undang-Undang (LSPBS). - Foto ihsan YUNI DWI LESTARI -

PEMBANTU rumah warga Indonesia Yuni Dwi Lestari, seorang mangsa dera, diberi pampasan $10,000 oleh majikannya yang bersalah, dengan bantuan Khidmat Pro Bono Persatuan Undang-Undang (LSPBS), badan amal berdaftar yang berusaha memastikan akses kepada keadilan untuk semua.

LSPBS telah dapatkan peguam relawan, Cik Viviene Sandhu dan Cik Charlotte Lim, yang mengambil kes Cik Yuni untuk mendapatkan pampasan daripada suri rumah Mun Sau Yeng.

Mun, 41, dipenjara 15 bulan Mac tahun lalu selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan mendera pembantu rumah, lapor The Straits Times.

Dalam tindakan undang-undang sivil menyusuli kes jenayah itu, peguam menuntut ganti rugi bagi pihak Cik Yuni bagi kecederaan peribadi termasuk lebam di rahang kanan, muka yang bengkak serta hilang gaji selama enam bulan.

Cik Yuni berkata:

"Saya sangat berterima kasih kepada Cik Viviene dan Cik Charlotte dari Clifford Law kerana membantu saya, dan berharap pembantu rumah lain tidak akan takut bersuara jika mereka menghadapi masalah seperti ini."

Dalam kes berasingan, pembantu rumah Myanmar, Cik Su Su Mar dirujuk oleh Pusat Pekerja Domestik dan dibantu di bawah Skim Ad Hoc Pro Bono, yang merupakan sebahagian daripada LSPBS.

Beliau hilang empat jari dalam satu kemalangan apabila dikerahkan untuk bekerja di gerai makanan bapa majikannya secara haram.

Cik Su Su Mar mendapat "hasil yang baik", kata peguam sukarelawannya, Cik Sara Ng dari Vicki Heng Law Corporation, yang merundingkan perjanjian pampasan.

Bapa kepada majikan beliau baru-baru ini dipenjara dan didenda kerana gagal memastikan keselamatan Cik Su Su Mar, kata LSPBS di laman Facebooknya bulan lalu.

LSPBS berkata perkongsiannya dengan Pusat Pekerja Domestik dan Kumpulan Pekerja Migran menunjukkan bagaimana mereka dapat bersatu menyediakan bantuan dan sokongan yang menyeluruh bagi masyarakat rentan.

Pengerusi lembaga LSPBS, Encik Gregory Vijayendran berkata:

"Titik permulaan bagi kita semua adalah untuk merenung dan menyedari bahawa pekerja asing ini adalah manusia seperti kita... Jadi masyarakat haruslah, sekurang-kurangnya, menghormati asas... Peranan kita sebagai Peguam pro bono adalah untuk melakukan bahagian kecil kami menuntut semula dan memulihkan maruah kepada mangsa jenayah tersebut. Kami amat berterima kasih kepada peguam pro bono kami yang memberikan nasihat dan bantuan undang-undang pro bono. Peguam seperti Viviene dan Sara adalah suara untuk mereka yang tidak bersuara."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg