SEORANG peguam telah diheret ke Mahkamah Daerah semalam selepas didakwa terlibat dalam kemalangan langgar lari yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan serius.
Gregory John Fong Mun Yung, 49 tahun, daripada firma guaman Fong & Fong, menghadapi tiga tuduhan, termasuk menyebabkan kecederaan parah semasa memandu dengan cara yang membahayakan orang awam dan gagal berhenti selepas kemalangan.
Satu carian yang dibuat akhbar The Straits Times di laman web Kementerian Undang-Undang menunjukkan Fong adalah pengarah di firma itu, manakala carian di laman Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat pula menunjukkan bahawa dia seorang pengurus dan rakan kongsi di Beston Law.
Fong didakwa memandu kereta di sepanjang Ekspreswe Kallang-Paya Lebar menghala ke Ekspreswe Tampines sekitar 6 petang pada 13 Jun 2021 apabila nahas dengan motosikal itu berlaku.
Mangsa berusia 42 tahun itu mengalami kecederaan teruk, namun tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Fong dituduh gagal berhenti selepas nahas itu dan juga dikatakan telah meninggalkan tempat kejadian tanpa menghulurkan sebarang bantuan.
Kes itu telah ditangguhkan kepada 12 Oktober.
Pesalah kami pertama yang menyebabkan kecederaan ke orang lain semasa memandu dengan cara yang membahayakan orang awam boleh dijatuhi hukuman penjara antara satu dengan lima tahun.
Pesalah berulang boleh dihukum antara dua dengan 10 tahun.
Oleh kerana gagal berhenti selepas kemalangan, pesalah kali pertama boleh dipenjara hingga tiga bulan dan didenda hingga $1,000.
Pesalah berulang boleh dihukum penjara hingga enam bulan dan didenda hingga $2,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg