Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peguam Mohamed Faizal antara 3 Pesuruhjaya Kehakiman dilantik

Jul 21, 2023 | 3:00 PM
DILANTIK: Tiga Pesuruhjaya Kehakiman baru yang dilantik ialah (dari kiri) Cik Kristy Tan Ruyan, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir dan Encik Christopher Tan Pheng Wee.
DILANTIK: Tiga Pesuruhjaya Kehakiman baru yang dilantik ialah (dari kiri) Cik Kristy Tan Ruyan, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir dan Encik Christopher Tan Pheng Wee. - Foto PMO

Tiga Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Agung baru telah dilantik Presiden Halimah Yacob, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Jumaat.

Pendaftar Mahkamah Negara, Encik Christopher Tan Pheng Wee, serta peguam kanan Pejabat Peguam Negara (AGC), Cik Kristy Tan Ruyan, akan memulakan tugas baru mereka pada 1 Oktober untuk tempoh dua tahun.

Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, ketua pendakwa raya kedua di AGC, juga akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun mulai 2 Mei 2024.

Encik Tan dilantik sebagai pendaftar pada 2020 dan secara serentak dilantik sebagai timbalan ketua hakim pada 2022.

Sejak 2003, beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman, termasuk sebagai timbalan pendakwa raya di AGC dan pengarah eksekutif jabatan perantara pelaburan di Penguasa Kewangan Singapura.

Beliau juga dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Perak) pada 2011.

Cik Tan merupakan peguam kanan di AGC sejak 2021.

Beliau memulakan kerjayanya dalam sektor swasta dan menjadi rakan kongsi ekuiti di firma guaman terkemuka Allen & Gledhill pada 2013.

Cik Tan kemudiannya menyertai perkhidmatan guaman, berkhidmat sebagai ketua kumpulan advokasi AGC pada 2018 dan pada masa yang sama sebagai timbalan ketua peguam divisyen sivil dari 2021.

Encik Faizal, yang akan menyandang jawatan JC pada 2024, berpengalaman selama 18 tahun dalam perkhidmatan guaman, berkhidmat dalam jawatan termasuk penolong pendaftar di Mahkamah Agung dan timbalan pendakwa raya di AGC. Beliau dilantik sebagai peguam kanan pada 2020.

Beliau telah menulis secara meluas dalam pelbagai bidang undang-undang, dengan tumpuan kepada undang-undang dan prosedur jenayah serta undang-undang Islam, kata Pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut dinamakan sebagai pemimpin global muda oleh Forum Ekonomi Sedunia pada 2016 dan telah menerima anugerah dalam bidang undang-undang serta kerjanya dalam perkhidmatan awam.

Dengan pelantikan ini, Mahkamah Agung akan mempunyai seramai 28 hakim, tiga Pesuruhjaya Kehakiman, enam hakim kanan dan 19 hakim antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg