DUA peguam yang mewakili pengedar dadah Malaysia, Nagaenthran K. Dhamalingam dalam percubaan terakhir untuk menghentikan hukuman gantung yang diberikan kepadanya telah diperintahkan untuk membayar $20,000 kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
Encik M.Ravi yang menjalankan kebanyakan tugas membela telah diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk menanggung 75 peratus daripada kos tersebut manakala Cik Violet Netto yang kemudian mengambil alih tugas sebagai peguam pula perlu membayar baki 25 peratus kos berkenaan.
Pihak AGC pada awalnya menuntut kos peribadi sejumlah $40,000 daripada Encik Ravi dan Cik Netto yang berusaha menangguh hukuman gantung Nagaenthran dengan mengeluarkan permohonan yang tidak patut dipuji, yang menyebabkannya menambah kos yang tidak sepatutnya.
Di bawah undang-undang, mahkamah mempunyai kuasa mengarah agar kos peribadi dibayar peguam yang menyebabkan tambahan kos yang tidak wajar hasil sikap yang tidak wajar atau cuai.
Pada Rabu, Mahkamah Rayuan dengan lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sundaresh Menon, berkata agak jelas kepada mana-mana peguam pembela yang munasabah bahawa kes yang dikemukakan dua peguam ini kurang berlandaskan fakta.
Pihak mahkamah mengulangi bahawa cara kes ini dikendalikan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah yang terang-terangan dan sangat mengejutkan.
Daripada mengemukakan kes mereka sebaik mungkin seperti yang ditetapkan, peguam ini mengemukakan bukti yang dikatakan itu satu persatu dan mengetengahkan dokumen pada saat-saat akhir, kata mahkamah.
Mahkamah juga telah menolak bidasan Encik Ravi bahawa beliau dan Cik Netto tidak boleh diarahkan membayar kos peribadi kerana mereka bukan lagi peguam yang masih meneruskan bidang guaman.
Nagaenthran didapati bersalah mengedar 42.72 gram heroin pada 2010 dan dihukum gantung. Rayuannya telah ditolak pada 2011.
Sepanjang tempoh itu, dia telah memohon sebanyak tujuh kali untuk hukuman gantungnya itu dihentikan.
Beberapa hari sebelum dia dijadualkan dihukum gantung pada 10 November tahun lalu, Encik Ravi memohon semakan hakim mengenai hukuman tersebut.
Encik Ravi juga memohon jika hukuman itu dapat dihentikan dahulu bagi panel ahli psikiatri menilai kondisi Nagaenthran.
Beliau menyatakan hukuman tersebut tidak dapat diteruskan kerana Nagaenthran kurang upaya dari segi mental.
Kes itu dikemukakan Cik Netto yang dibantu Encik Ravi, di hadapan mahkamah tertinggi pada 1 Mac.
Pada 29 Mac, mahkamah menolak tindakan guaman itu dengan menyatakan kes itu tidak berasas dan tiada bukti yang boleh dipakai mengenai keadaan mental Nagaenthran.
Mahkamah berkata perbicaraan Nagaenthran itu membawa pada penyalahgunaan proses mahkamah dan telah dikendalikan dengan matlamat yang nampaknya ingin menangguh hukuman gantung itu.
Pada 26 April, permohonan saat akhir ibu Nagaenthran untuk menghentikan hukuman gantung yang telah dijadualkan semula ditolak mahkamah.
Dia digantung di Kompleks Penjara Changi pada 27 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg