Pejabat baru dibentuk, lakar pelan tangani kesan haba secara menyeluruh
Pejabat baru dibentuk, lakar pelan tangani kesan haba secara menyeluruh
Sebuah Pejabat Dasar Daya Tahan Haba baru telah dibentuk bagi menangani semua kesan haba secara menyeluruh, termasuk yang menjejas ekonomi dan masyarakat, umum Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary.
Pejabat itu akan membangunkan Pelan Tindakan Daya Tahan Haba merentas sektor prasarana, kesihatan, ekonomi dan sosial, serta mengenal pasti bidang keutamaan.
Ia juga akan membangunkan langkah untuk menangani bidang tersebut, termasuk dengan memperluaskan huraian yang terbukti ke sektor lain.
Bercakap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) di Parlimen pada 3 Mac, Dr Janil berkata pejabat itu akan menghimpunkan usaha merentas pelbagai agensi, termasuk Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bagi melakarkan hala tuju usaha mereka.
Pejabat itu akan menyelaraskan tindakan, menyelia penyelidikan dan mewakili Singapura di peringkat antarabangsa.
“Ini akan mengelakkan pertindihan usaha dan memastikan prinsip kita sejajar, sambil bekerjasama dengan agensi individu yang menerajui pelbagai inisiatif.
“Beberapa isu yang perlu kita tangani termasuk – kawasan, sektor atau segmen populasi manakah yang paling berisiko, dan bagaimana kita dapat menyokong kumpulan ini dengan lebih lanjut?
“Apakah kajian tambahan yang diperlukan untuk sektor membangunkan langkah-langkah yang berkesan dan disesuaikan? Bagaimanakah kita mengimbangi keperluan untuk penyejukan tambahan dengan keperluan untuk memenuhi sasaran pelepasan kita?,” kata beliau.
MAKLUMAT LANJUT TENTANG SKIM KEMBALIKAN BEKAS MINUMAN
Dr Janil turut memberikan butiran lanjut tentang Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) di perbahasan COS MSE, sambil berkata beberapa restoran dan kedai makanan dan minuman (F&B) dengan khidmat makan di premis kedai tidak akan mengenakan deposit 10 sen kepada pelanggan apabila mereka membeli minuman dalam botol atau tin.
Skim itu, yang akan bermula pada 1 April, membolehkan orang ramai menggunakan kad EZ-Link mereka di mesin layan diri untuk mendapatkan semula deposit 10 sen apabila memulangkan botol dan tin minuman kosong bagi dikitar semula.
Bagi kedai makanan lain, seperti di pusat penjaja dan kedai kopi, pengumpulan bekas minuman itu mungkin mencabar disebabkan sifat ruang makannya, dengan mungkin terdapat beberapa kedai minuman dalam kawasan yang sama.
Dalam hal sedemikian, minuman akan dijual dengan deposit 10 sen, kata Dr Janil.
Di bawah skim ditadbir Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) itu, pelanggan akan bayar tambahan 10 sen untuk deposit yang boleh dikembalikan bagi minuman dalam botol dan tin antara 150 mililiter dengan 3 liter.
Apabila bekas minuman dengan tanda ‘Deposit Mark’ dikembalikan kepada mesin layan diri ‘terbalik’, pelanggan boleh mendapatkan semula deposit mereka melalui kad EZ-Link atau dompet DBS PayLah.
Bagaimanapun, tidak seperti pasar raya dan peruncit lain yang akan mengenakan deposit itu terus kepada pelanggan bagi setiap bekas minuman, aturan berasingan diperlukan bagi landskap F&B kerana ia sangat pelbagai dengan tetapan dan model operasi yang berbeza, kata Dr Janil.
Kedai yang merancang mengambil balik bekas minuman yang diminum pelanggan akan dikenali sebagai kedai ‘Return Right F&B’.

