Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pejuang bahasa, budaya Hadijah Rahmat dinobat Jauhari 2022

Kerjasama, peranan yang dimainkan pelbagai badan Melayu termasuk BH bantu sokong masyarakat: DPM Wong
Nov 4, 2022 | 5:30 AM
PENCAPAIAN DIIKTIRAF: Profesor Hadijah Rahmat (dua dari kanan) menerima Anugerah Jauhari daripada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media Limited, Cik Teo Lay Lim (kanan), dan Editor Berita Harian, Encik Saat A. Rahman (paling kiri). - Foto BH oleh KHALID BABA
PENCAPAIAN DIIKTIRAF: Profesor Hadijah Rahmat (dua dari kanan) menerima Anugerah Jauhari daripada Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media Limited, Cik Teo Lay Lim (kanan), dan Editor Berita Harian, Encik Saat A. Rahman (paling kiri). - Foto BH oleh KHALID BABA -

GAGASAN bagi pertubuhan Melayu/Islam saling menyokong dan bekerjasama dengan pemerintah untuk memacu kemajuan bukanlah sesuatu yang baru.

Idea ini, malahan, disemai dalam teras pendekatan bagi membantu setiap warga Singapura memburu kecemerlangan dengan banyak badan Melayu/Islam turut dilihat bekerjasama rapat dengan pemerintah untuk menyokong dan mempertingkat masyarakat di kesemua peringkat.

Memberi pengamatannya tentang perkembangan menggalakkan ini di majlis penyampaian Anugerah Jauhari Berita Harian 2022 buat individu cemerlang semalam, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, memberi contoh usaha memperkasa semangat yang dimainkan Mendaki, AMP dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

"Mendaki berusaha memberikan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah permulaan yang baik dalam kehidupan menerusi pendidikan.

"AMP pula membantu membangun dan mengembangkan masyarakat karyawan Muslim di Singapura manakala DPPMS menyokong dan mengasuh perusahaan Melayu/Islam," jelasnya pada majlis yang berlangsung di Hotel Four Seasons.

Encik Wong akur bahawa ini hanyalah beberapa contoh dengan banyak lagi pihak memainkan peranan penting mereka, termasuk akhbar Berita Harian, yang menyambut ulang tahun ke-65 tahun ini.

"Selama berdekad, Berita Harian (BH) telah memantapkannya sebagai institusi yang dihormati di Singapura.

"Ia bukan sahaja menggalak dan mengekalkan bahasa dan budaya Melayu, malah memperjuangkan kesejahteraan masyarakat. Kita dapat lihat perihal ini baru-baru ini dalam kita melawan Covid-19.

"Apabila kita perlu menghentikan perhimpunan secara peribadi di masjid dan tempat ibadat lain pada 2020, BH bekerjasama dengan asatizah setempat untuk menerbitkan kandungan sosioagama di platform media sosialnya," katanya.

BH, jelasnya, juga bekerjasama dengan Mendaki bagi melancarkan portal yang menyediakan bahan pendidikan dan keibubapaan dalam talian pada Ogos lalu untuk menyokong dan bagi mensejajarkannya dengan trend ibu bapa dan pelajar yang merujuk pada sumber dalam talian.

Menurut Encik Wong, usaha sebegini menggariskan komitmen BH dalam menyokong dan memajukan minat masyarakat Melayu/Islam.

Beliau juga menambah, menerusi usaha kolektif semua badan ini dan pemerintah, masyarakat Melayu/Islam dilihat terus maju dengan ramai anak Melayu berjaya di sekolah dan institusi pengajian tinggi dan mempunyai pekerjaan dan peluang yang baik.

Pendapatan isi rumah Melayu juga kian bertambah secara berterusan dari tahun ke tahun, jelasnya.

Dalam majlis penyampaian Anugerah Jauhari ke-24 semalam, Ketua Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE)/Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Hadijah Rahmat, dinobat sebagai penerima anugerah kecemerlangan itu.

Beliau menerima anugerahnya daripada Encik Wong, yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media Limited, Cik Teo Lay Lim, dan Editor BH, Encik Saat A. Rahman.

Turut hadir di acara yang disokong FairPrice Group ini adalah Ketua Editor kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil (EMTM), Encik Wong Wei Kong, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan CEO Perniagaan Runcit FairPrice Group, Cik Elaine Heng.

Dalam ucapannya, Encik Saat menjelaskan, kerjasama di dalam dan luar masyarakat adalah satu-satunya cara mara ke arah masa depan lebih cerah secara bersama.

"Sewaktu dua tahun pandemik, BH telah menyumbang dengan cara kami sendiri untuk membantu masyarakat mengemudi cabaran yang dihadapi.

"Apabila banyak kegiatan sosial dan keagamaan dibataskan kerana Covid-19, kami mempertingkat usaha dalam talian bagi memastikan masyarakat dapat didekati secara bermakna.

"Kami bekerjasama dengan ramai dalam kalangan masyarakat, dengan membantu perniagaan kecil seperti peniaga yang berpangkalan dari rumah kepada inisiatif masyarakat lebih besar seperti menyokong gerakan M Kuasa Tiga (M3)," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg