SEBANYAK 500 keluarga rentan di kawasan Nanyang menerima pek berisi barang keperluan seperti makanan, pelitup muka dan sanitiser semalam.
Setiap pek Perayaan South West itu bernilai $70. Ia ditaja bersama oleh Koh Kock Leong Enterprise Pte Ltd, P&G Singapore dan Persatuan Industri Landskap Singapura (Lias).
Ia diagih oleh Mayor Daerah South West, Cik Low Yen Ling, dan Anggota Parlimen GRC West Coast, Encik Ang Wei Neng, yang juga penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) Nanyang, dengan sokongan sukarelawan daripada GRO tersebut, Lias serta syarikat MHE-Demag.
Acara semalam penutup tirai program Festive Cheers @ South West Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang bertujuan menyebarkan keceriaan kepada golongan rentan yang dijalankan sejak November tahun lalu.
Bertemakan Kepada Masyarakat South West Kita, Dengan Rasa Kasih, program itu memaparkan rangkaian kegiatan yang diadakan dengan kerjasama rakan kerja untuk menyebarkan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
Sejak dilancarkan, program tersebut telah mengumpulkan 105 rakan korporat dan masyarakat melalui 24 acara pengagihan melibatkan lebih 5,000 sukarelawan dan telah memberi manfaat kepada sekitar 8,000 keluarga dan pelajar rentan di Daerah South West.
Cik Low berkata pandemik Covid-19 tidak sedikit pun menjejas semangat memberi malah, sebaliknya, menonjolkan lagi semangat gotong-royong masyarakat.
"Sokongan kuat daripada individu, korporat dan pertubuhan masyarakat, termasuk pemilik perniagaan kedai dalam talian, mencerminkan semangat 'Singapura Bersama'.
"Dengan perpaduan seperti ini, kita dapat menangani Covid-19 dan muncul sebagai masyarakat lebih berdaya tahan dan bersatu," kata beliau.
Ini kali pertama CDC itu bekerjasama dengan pemilik perniagaan dalam talian dalam usaha pengagihan pek perayaan itu.
Seramai 25 pemilik perniagaan dalam talian seperti di Facebook dan Instagram menyumbang pakaian baru, peralatan sekolah, baucar dan mainan bernilai lebih $18,000 bagi penduduk warga emas dan keluarga rentan yang mempunyai anak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg