LIMA tahun lalu, sebahagian besar syarikat mungkin melihat bekerja di rumah sebagai pilihan yang tidak realistik, manakala kerja fleksibel tidak disukai.

Jarang sekali syarikat membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah secara tetap, dan banyak majikan mungkin berasa curiga kakitangan mereka akan kehilangan fokus apabila bekerja dari rumah.

Walau bagaimanapun, pandemik Covid-19 telah menghapuskan beberapa prasangka itu.

Dua tahun kemudian, majikan menyedari bahawa orang ramai boleh dipercayai untuk bekerja dari rumah dan dalam sesetengah kes, mereka mungkin lebih produktif.

Pada masa yang sama, pekerja menyedari bahawa tiada pengganti yang boleh memberi faedah berinteraksi secara bersemuka.

Ini telah mewujudkan suasana baru kerja hibrid, dengan pekerja bertukar ganti antara bekerja di rumah dengan bekerja di pejabat, bergantung pada keperluan kerja mereka.

Beberapa pekerja yang ditemu bual oleh Berita Harian menyatakan bahawa pengaturan kerja hibrid amat sesuai bagi mereka.

Bagi pengurus pasukan (perkhidmatan pelanggan) NTUC FairPrice, Cik Marlynn Suhaila Rosli, 38 tahun, syarikat tempatnya bekerja kini menggunakan kerja hibrid dengan mereka boleh memilih bekerja dari rumah.

"Fleksibiliti ini, walaupun kelonggaran keselamatan Covid-19 telah membolehkan semua pekerja pulang ke tempat kerja, menunjukkan kepercayaan pihak pengurusan yang lebih tinggi terhadap kakitangan mereka.

"Dengan menunjukkan bahawa prestasi syarikat tidak terjejas dan masih membenarkan mereka bekerja dari rumah, kakitangan tahu bahawa pihak pengurusan mempercayai mereka untuk menyelesaikan tugas secara bebas," katanya yang kini pulang ke pejabat sekitar dua kali seminggu.

Bagi perunding IT daripada Tatas Consultancy Services, Encik Albany Aljunied, 31 tahun, beliau menyatakan bahawa bekerja di rumah kadangkala amat sukar kerana menghadapi isu dengan Internet dan kadangkala terus bekerja selepas waktu bekerja.

"Namun, dengan adanya pengaturan bekerja secara fleksibel ataupun hibrid, ia menunjukkan syarikat kami dan pasukan pengurusan memberikan kepercayaan kepada kakitangan mereka untuk melaksanakan pekerjaan masing-masing dan ini memberikan kami lebih semangat untuk bekerja," jelasnya yang telah bekerja di syarikatnya itu selama empat tahun.

Beberapa pekerja, yang ditemu bual tentang pandangan mereka mengenai pengaturan kerja hibrid, turut menyatakan mereka mempertimbang menukar pekerjaan jika pekerjaan mereka tidak menawarkan pengaturan kerja hibrid kecuali ia memberi gaji lebih besar.

Pegawai eksekutif di Daitaku, sebuah syarikat sains data, Encik Muhammad Nuramin Abdul Rahman, 32 tahun, menyatakan beliau merasakan lebih sesuai beliau bekerja dari rumah kerana tidak suka tergesa-gesa dengan pekerja lain untuk pergi bekerja setiap pagi.

"Saya memang lebih suka jika pekerjaan saya fleksibel dan jika tidak, saya mungkin berusaha mendapatkan pekerjaan yang menawarkan sedemikian kecuali jika gaji yang saya peroleh wajar dengan perbelanjaan untuk pengangkutan dan masa perjalanan untuk ke tempat kerja serta kos makanan yang lebih tinggi di tempat kerja," katanya yang kini bekerja di pejabat hanya sekali setiap minggu.

Bagi Encik Muhammad Ammar Khairuddin, 21 tahun, seorang pelatih di PUB, pula beliau menyatakan bekerja secara fleksibel adalah antara salah satu kriteria apabila mencari pekerjaan tetap.

"Adanya pilihan bekerja secara fleksibel merupakan antara satu kriteria yang akan menarik saya menyertai syarikat itu.

"Namun, saya akan mengimbangkan gaji yang ditawarkan dengan pilihan pekerjaan fleksibel, sebelum memutuskan yang mana lebih berbaloi bagi saya," katanya yang telah bekerja di PUB selama lima bulan. - Laporan tambahan HADIF AIMAN HERMAN

"Fleksibiliti ini, walaupun kelonggaran keselamatan Covid-19 telah membolehkan semua pekerja pulang ke tempat kerja, menunjukkan kepercayaan pihak pengurusan yang lebih tinggi terhadap kakitangan mereka.

Dengan menunjukkan bahawa prestasi syarikat tidak terjejas dan masih membenarkan mereka bekerja dari rumah, kakitangan tahu bahawa pihak pengurusan mempercayai mereka untuk menyelesaikan tugas secara bebas." - Pengurus pasukan (perkhidmatan pelanggan) NTUC FairPrice, Cik Marlynn Suhaila Rosli.

"Saya memang lebih suka jika pekerjaan saya fleksibel dan jika tidak, saya mungkin berusaha mendapatkan pekerjaan yang menawarkan sedemikian kecuali jika gaji yang saya peroleh wajar dengan perbelanjaan untuk pengangkutan dan masa perjalanan untuk ke tempat kerja serta kos makanan yang lebih tinggi di tempat kerja." - Pegawai eksekutif di Daitaku, Encik Muhammad Nuramin Abdul Rahman.

"Adanya pilihan bekerja secara fleksibel merupakan antara satu kriteria yang akan menarik saya menyertai syarikat itu.

Namun, saya akan mengimbangkan gaji yang ditawarkan dengan pilihan pekerjaan fleksibel, sebelum memutuskan yang mana lebih berbaloi bagi saya." - Pelatih di PUB, Encik Muhammad Ammar Khairuddin.