Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja asing adu diganggu tailong akan dihantar pulang; polis selesai siasatan

May 29, 2024 | 6:18 PM
Encik Md Sharif Uddin, membuat aduan dalam talian pada 25 Mei bahawa beliau akan dihantar pulang ke Bangladesh, setelah polis selesai menjalankan siasatan terhadap kes gangguan tailong. 
Encik Md Sharif Uddin, membuat aduan dalam talian pada 25 Mei bahawa beliau akan dihantar pulang ke Bangladesh, setelah polis selesai menjalankan siasatan terhadap kes gangguan tailong.  - Foto ST

Seorang pekerja asing dari Bangladesh, yang dikatakan diganggu pemiutang wang haram atau tailong, akan dihantar pulang selewat-lewatnya pada 31 Mei, selepas polis menjalankan siasatan dan tidak dapat mengenal pasti individu yang mengganggunya.

Ini selepas Encik Md Sharif Uddin membuat aduan dalam talian pada 25 Mei bahawa beliau akan dihantar pulang ke Bangladesh, setelah polis selesai menjalankan siasatan terhadap kes gangguan itu.

Dalam satu rakaman video di media sosial, Encik Sharif berkata sebelum ini, pihak berkuasa berjanji bahawa beliau boleh terus bekerja di Singapura selepas kesnya selesai.

Menurut kenyataan bersama oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 Mei, Encik Sharif dimaklumkan pada 23 Mei bahawa beliau tidak lagi dibenarkan menetap di Singapura memandangkan siasatan polis terhadap kes tersebut sudah selesai.

“Siasatan meluas telah dijalankan, termasuk temu bual terperinci dan pemeriksaan bukti forensik untuk mengenal pasti identiti dan motif pengganggu yang dinyatakan, yang bukan sahaja mengganggu Encik Sharif, malah bekas majikan dan bakal majikannya,” menurut kenyataan itu.

Polis tidak menemui sebarang bukti bahawa Encik Sharif meminjam wang daripada pemiutang yang tidak berlesen, lapor The Straits Times (ST).

Pada April, MOM dan polis menyatakan ia akan menyiasat kes Encik Sharif, selepas lelaki berusia 46 tahun itu berkata dalam satu video yang dimuat naik di media sosial oleh kumpulan kebajikan pekerja asing bahawa beliau hilang pekerjaan selepas memaklumkan kepada majikannya agar melaporkan kepada polis mengenai pemiutang wang haram yang mengganggunya.

Tailong tersebut mengganggunya kerana pinjaman yang dikatakan belum dilunaskan.

Encik Sharif menafikan pernah meminjam wang daripada tailong.

Beliau turut berkata diberi notis yang menyatakan perkhidmatannya akan ditamatkan dalam tempoh sebulan, dengan hari terakhir bekerja pada 12 April.

Kes Encik Sharif telah menarik sokongan lebih 760 orang, yang menandatangani satu petisyen yang memohon agar bapa dua anak itu terus dibenarkan berada di Singapura.

Beliau juga merupakan pekerja asing pertama yang memenangi Anugerah Buku Singapura bagi kategori Bukan Fiksyen Terbaik.

Semasa siasatan polis, Encik Sharif diberi pas khas untuk memudahkannya tinggal di Singapura bagi membantu siasatan tersebut, selepas permit kerjanya ditamatkan oleh bekas majikannya pada 11 April.

Bekas majikannya menanggung perbelanjaan penginapan dan makanannya dalam tempoh siasatan.

Encik Sharif juga dibenarkan mencari kerja di bawah Skim Pekerjaan Sementara (TJS) oleh MOM, namun sukar mendapat pekerjaan yang sesuai.

Skim pekerjaan jangka pendek itu diberikan kepada warga asing yang dikehendaki tinggal di Singapura untuk tujuan siasatan atau pendakwaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg