MULAI hari ini, majikan kepada semua pemegang Pas S dan permit kerja dalam sektor binaan serta limbungan marin dan proses (CMP) tidak dibenarkan membuat permohonan baru untuk pekerja memasuki Singapura melalui Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL).

Larangan ini juga dikenakan kepada majikan pemegang pas kerja lain yang menginap di dormitori, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, warga Malaysia dan pemegang pas kerja wanita masih dibenarkan memasuki Singapura melalui VTL.

"Ini kerana individu ini rata-rata tidak menginap di asrama," kata MOM.

Kementerian itu berkata, pekerja CMP dan pekerja lain yang menginap di asrama pekerja asing harus memasuki Singapura melalui inisiatif industri sedia ada - seperti program dengan pengujian dan pengasingan di negara asal - atau Laluan Umum Pemegang Pas Kerja.

Kemasukan pekerja di bawah laluan-laluan itu dilakukan pada kadar yang membolehkan mereka disuai tugas dengan selamat sebelum memasuki persekitaran berisiko lebih tinggi seperti dormitori dan tapak kerja, kata MOM. Sebagai contoh, pekerja perlu menunjukkan pengesahan vaksinasi dan menjalani pemeriksaan perubatan di bawah laluan-laluan itu.

Pekerja yang telah memperolehi kelulusan sebelum hari ini untuk memasuki Singapura melalui VTL masih boleh melakukan demikian.

Bagaimanapun, mereka perlu mengambil ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) Covid-19 semasa ketibaan dan mengasingkan diri sementara menunggu keputusannya.

Mereka yang menerima keputusan negatif akan menjalani program suai tugas selama lima hari.

Maklumat lanjut akan disampaikan kepada majikan, kata MOM.

Kenyataan itu dibuat setelah MOM mengumumkan Oktober lalu bahawa ia akan menyambung kelulusan kemasukan bagi pekerja migran dan pemegang permit kerja daripada sektor CMP dengan syarat mereka telah divaksin sepenuhnya.

Ini menyusuli pengumumannya Mei lalu bahawa ia akan berhenti menerima permohonan baru dari negara atau wilayah berisiko lebih tinggi disebabkan oleh Covid-19.

Akibat kekurangan tenaga kerja dalam sektor CMP, sebuah skim perintis dilancarkan Julai lalu untuk membawa masuk pekerja migran dari India bagi melegakan keadaan.

Langkah pencegahan bagi mengekang penularan Covid-19 terus dilaksanakan pemerintah dan pihak berkuasa di seluruh dunia - termasuk menutup sempadan negara - menyusuli penemuan varian Covid-19 baru, Omicron, yang telah dikesan di lebih 38 negara.

Namun, sedang Afrika Selatan berdepan gelombang keempat disebabkan penularan Omicron yang menyaksikan lebih ramai kanak-kanak dimasukkan ke hospital, pihak berkuasa negara itu berkata, kebanyakan mereka mengalami gejala ringan, dan ini harus meningkatkan tahap kewaspadaan dan bukannya rasa cemas.

Sebanyak 18 negara di Eropah telah melaporkan kes varian baru itu sedang rantau itu melepasi 75 juta kes Covid-19 kelmarin, menurut kiraan Reuters.

India telah mengesan kes varian Omicron ketiganya melibatkan seorang warga lelakinya yang berusia 72 tahun.

Lelaki itu telah menginap di Zimbabwe selama berpuluh tahun dan pulang ke India pada 28 November lalu.

Negara itu semalam melaporkan 8,603 kes Covid-19 baru, membawa kepada jumlah 34.62 juta jangkitan sejauh ini.