Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja asing maut selepas jatuh empat tingkat di kondo Bedok dalam kematian pertama di tempat kerja pada 2023

Jan 14, 2023 | 5:24 PM
Foto TANGKAP LAYAR GOOGLE MAPS
Foto TANGKAP LAYAR GOOGLE MAPS -

SEORANG pekerja dari Myanmar maut pada Khamis (12 Januari) selepas terjatuh empat tingkat dari belebas konkrit ketika beliau sedang mengecat permukaan blok kondominium di Bedok.

Ini adalah kematian pertama di tempat kerja pada 2023.

Menjawab pertanyaan media, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata kejadian itu berlaku sekitar 3.50 petang di 738 Bedok Reservoir Road, alamat kondominium Waterfront Isle.

Lelaki berusia 37 tahun itu digandingkan dengan pekerja lain dan mereka menggunakan gondola, tambah MOM.

Bagaimanapun, kedua-dua pekerja memanjat keluar dari gondola untuk mengecat bahagian dinding yang tidak dapat dicapai.

Mangsa, yang bekerja dengan ISOTeam C&P, sedang berdiri di atas belebas konkrit apabila beliau terjatuh.

Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik selepas polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan mengenai perkara itu sekitar 4.20 petang.

Polis dan MOM sedang menyiasat kemalangan itu. Tiada perbuatan khianat disyaki.

MOM telah memberitahu ISOTeam C&P untuk berhenti menggunakan gondola dan menghentikan semua kerja yang dibuat di kondominium itu.

Syarikat itu, anak syarikat firma penyelenggaraan bangunan ISOTeam, juga dihalang mengambil pekerja asing baru selama tiga bulan kerana kawalan risikonya yang lemah, kata MOM.

Pengarah Urusan ISOTeam C&P, Encik Sam Chen, juga akan diminta untuk menjelaskan secara peribadi kepada MOM mengenai kesilapan yang dibuat dan bertanggungjawab untuk membaiki keadaan.

"MOM tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab jika salah laku didapati," kata jurucakap MOM pada Sabtu.

Menurut profil di laman web ISOTeam, Encik Chen ialah penyelia keselamatan bertauliah dan penilai tugasan yang melibatkan paras ketinggian lokasi.

Di bawah undang-undang, tiada sesiapa pun boleh memasuki atau meninggalkan gondola melainkan gondola itu berada di bumi atau di mana-mana dataran yang membenarkan akses selamat.

Pekerja juga harus diberikan peralatan keselamatan yang sesuai untuk mengelakkan terjatuh ketika bekerja di tempat tinggi, tambah MOM.

Terjatuh dari ketinggian adalah antara punca utama kematian di tempat kerja pada 2022.

Pada tahun itu, terdapat 46 kematian di tempat kerja, yang tertinggi dilaporkan sejak 2016 apabila 66 orang meninggal dunia kerana kejadian tempat kerja.

Pada 1 September 2022, MOM mengenakan tempoh keselamatan yang dipertingkatkan selama enam bulan yang berlangsung sehingga 28 Februari.

Dalam tempoh ini, syarikat akan dihalang daripada mengambil pekerja asing baru sehingga tiga bulan jika berlaku wujud kegenjotan yang teruk berikutan kejadian yang serius atau kes maut kemalangan di tempat kerja.

Dengan pelaksanaan langkah ini, purata jumlah kematian di tempat kerja di seluruh negara setiap bulan turun daripada 4.5 antara Januari hingga Ogos 2022 kepada 2.5 dari September hingga Disember 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg