SETELAH lebih tiga bulan diwadkan di hospital, termasuk hampir dua bulan bertarung nyawa di unit jagaan rapi, pekerja Bangladesh pertama yang menjangkiti Covid-19 di Singapura kini beransur pulih dan dipindahkan ke hospital masyarakat untuk meneruskan pemulihannya.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook Pusat Pekerja Asing (MWC) pada Khamis (21 Mei), Raju Sarker, 39 tahun, mengucapkan terima kasih kepada kakitangan jagaan kesihatan dan mereka yang memberi sokongan kepadanya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Singapura dan mereka yang mendoakan saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada majikan saya dan MWC yang memberi sokongan kepada keluarga saya," katanya.

Encik Raju, yang dilihat di katil hospital dan memakai topi merah dalam video itu, juga melahirkan terima kasihnya kepada doktor dan jururawat yang "bertungkus-lumus" membantu beliau sembuh serta pemerintah yang membiayai rawatannya, lapor The Straits Times.

Encik Raju merupakan antara pesakit Covid-19 terawal di Singapura dan diwadkan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) selama hampir dua bulan.

Isterinya melahirkan seorang bayi lelaki pada 30 Mac, ketika Encik Raju berada dalam keadaan kritikal.