PEKERJA barisan depan yang berusaha gigih berkhidmat bagi memastikan keselamatan warga Singapura di tengah-tengah pandemik Covid-19 telah dinamakan Tokoh Singapura The Straits Times tahun ini.
Tahun ini, anugerah itu bukan mengiktiraf seseorang individu tetapi semua pekerja dan relawan dalam sektor penjagaan kesihatan, keselamatan dan bidang lain yang telah tampil berbakti di barisan depan sepanjang setahun lalu untuk menyumbang kepada usaha Singapura memerangi koronavirus yang sedang menular.
Tidak gentar dek terdedah kepada risiko dijangkiti Covid-19, wira ini bekerja siang dan malam dalam suasana panas dengan memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) penuh.
Ada di antara mereka juga mengkaji vaksin dan mencuba terapi terhadap mereka yang sakit serius selain memastikan operasi penjagaan kesihatan berjalan lancar.
Usaha mereka bersama telah membantu Singapura mengekalkan kadar kematian akibat Covid-19 yang rendah di sini serta terus mengawal penularan itu dengan baik sedang banyak kes baru terus dilaporkan di luar negara.
Pekerja barisan depan itu diwakili pengarah eksekutif Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID), Profesor Leo Yee Sin; pembangun bersama satu-satunya vaksin Sars-CoV-2 Singapura, Lunar-Cov19, Profesor Ooi Eng Eong; jururawat klinisian NCID, Encik Abdul Wahab; pegawai swab Covid-19 di bawah Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Encik Benson Ng; serta pegawai pemerintah Khidmat Perintah Kuarantin Bersepadu Certis, Encik Nigel Quek.
Mereka menerima anugerah tersebut daripada Presiden Halimah Yacob, yang merupakan tetamu terhormat dan penaung anugerah itu, di satu majlis di Istana semalam.
Majlis penyampaian anugerah turut disiarkan secara langsung di laman Facebook dan YouTube The Straits Times semalam.
Semasa berucap, Puan Halimah berkata anugerah itu menekankan nilai yang dihargai masyarakat.
"Di tengah-tengah sekitaran Covid-19 yang mencabar ini, ramai orang telah tampil membantu mereka yang lebih memerlukan, termasuk pekerja asing, golongan kurang bernasib baik dan pesakit Covid-19.
"Lapan finalis anugerah itu tahun ini merupakan contoh semangat tidak mementingkan diri sendiri yang kita raikan hari ini," ujarnya.
Anugerah Tokoh Singapura The Straits Times yang disampaikan buat kali keenam tahun ini diberi kepada individu atau kumpulan warga Singapura yang telah meninggalkan kesan pada masyarakat antara lain menerusi pencapaian mereka, dengan meningkatkan kehidupan masyarakat atau dengan mempamerkan nilai daya tahan dalam menghadapi kesukaran.
Penerima anugerah itu dipilih oleh panel 13 anggota serta berdasar undi orang awam menerusi dalam talian.
Mereka menerima hadiah wang tunai $50,000 yang ditaja oleh penyampai anugerah UBS serta trofi.
Syarikat penerbangan Singapore Airlines turut memberi lima pasang tiket penerbangan Business Class kepada penerima anugerah Tokoh Singapura The Straits Times itu manakala Millennium Hotels and Resorts memberi setiap satu daripada mereka penginapan lima hari di mana-mana hotelnya di serata dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg