Topik diikuti
Pergi ke BHkuPekerja bas awam, kereta api dan penghantar makanan terima pelitup N95
Pekerja bas awam, kereta api dan penghantar makanan terima pelitup N95
Pekerja bas dan kereta api serta penghantar makanan kini boleh mendapatkan pelitup N95 secara percuma sebagai sebahagian daripada usaha melindungi mereka sedang keadaan berjerebu berterusan di Singapura.
Mulai 12 Oktober, Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) turut membuka kantinnya di 30 pusat pertukaran bas dan terminal bas bagi membolehkan penghantar makanan mengisi semula botol air mereka dan berehat seketika, kata Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling.
Mengumumkan langkah tersebut menerusi catatan Facebook pada hari sama, Cik Yeo berkata penghantar makanan yang merupakan anggota Persatuan Penyokong Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) boleh mendapatkan pelitup N95 percuma di kantin berkenaan.
Dalam satu kenyataan media pada 12 Oktober, Foodpanda berkata pihaknya telah menyumbangkan lebih 2,500 pelitup N95 bagi menyokong inisiatif pengagihan pelitup kepada anggota NDCA.
Langkah itu melengkapi usaha sedia ada platform penghantaran makanan tersebut bagi melindungi pekerja penghantarannya daripada kesan jerebu.
Antaranya termasuk menyediakan makluman berkala mengenai mutu udara, memberi kelonggaran kepada penghantar untuk menyesuaikan jadual kerja mereka serta menyediakan ciri dalam aplikasi yang membolehkan mereka berehat seketika tanpa menjejas insentif yang layak diterima.
Inisiatif pengagihan pelitup itu turut mendapat sokongan Grab.
Dalam catatan Facebook berasingan, NDCA menyatakan anggotanya juga boleh menikmati minuman pada harga serendah 90 sen di kantin NTWU yang terletak di pusat pertukaran bas Ang Mo Kio, Jurong East, Punggol dan Woodlands, serta Terminal Bas Shenton Way.
Cik Yeo, yang juga penasihat NDCA dan NTWU, berkata pengendali pengangkutan awam Go-Ahead Singapore, SBS Transit, SMRT dan Tower Transit telah bekerjasama dengan NTWU untuk mengagihkan pelitup N95 kepada pekerja bas dan kereta api.
“Pekerja pengangkutan dan penghantar makanan kita menghabiskan masa yang panjang bekerja di luar bangunan, dan keadaan berjerebu menjadikan tugas mereka lebih mencabar,” katanya.
Sambil berkongsi penghargaan kepada pengendali kantin NTWU atas kerjasama mereka dalam menjayakan inisiatif itu, Cik Yeo berkata:
“Memastikan tubuh mendapat air yang mencukupi dan berehat secukupnya merupakan antara saranan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) ketika keadaan berjerebu.
“Ini merupakan langkah mudah dan praktikal yang boleh kita ambil untuk menyokong penghantar makanan ketika mereka menjalankan tugas.”
Dalam catatan Facebook terdahulu pada 11 Oktober, NTWU turut mengingatkan pekerja pengangkutan awam supaya memantau keadaan jerebu dan memakai pelitup N95.
“Pekerja pengangkutan awam kita menghabiskan masa yang panjang bekerja di luar bangunan, di jalan raya, pusat pertukaran bas dan sepanjang laluan kereta api.
“Keadaan berjerebu yang berterusan menjadikan tugas mereka lebih mencabar, dan kami menghargai kerjasama erat pengendali pengangkutan awam dengan NTWU dalam mengutamakan kesihatan pekerja serta memastikan mereka mendapat perlindungan sewajarnya,” menurut persatuan itu.
Mutu udara di Singapura mula merosot ke paras tidak sihat pada 4 September.
Bacaan PSI mencatatkan paras tertinggi bagi 2026 pada 9 Oktober, apabila mencecah 192 di kawasan tengah Singapura antara 5 petang dengan 8 malam.
Sementara itu, bacaan PM2.5 setiap jam tertinggi setakat ini pada 2026, iaitu 171, direkodkan di kawasan barat pada 9 Oktober.